Keluarga mahukan keadilan, siasatan telus nahas babitkan tiga beranak

19 Aug 2026 • 4:34 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Keluarga mahukan keadilan, siasatan telus nahas babitkan tiga beranak

IPOH: Keluarga tiga beranak yang maut dalam kemalangan selepas dilanggar sebuah lori milik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada awal pagi tadi, mahu siasatan terhadap kejadian itu dijalankan secara telus dan menyeluruh.

Abang ipar kepada Shaik Mohd. Firdaus Shaikh Yahya, Mohd. Nadzri Razali, 69, berkata, pihak keluarga mahu keadilan diberikan kepada mangsa selain mendapatkan penjelasan sebenar berhubung kejadian berkenaan.

“Kalau boleh saya mahu siasatan penuh sebab dengar cerita (ketika kejadian) lampu isyarat merah dan kenderaan Jabatan Imigresen itu melintas.

“Minta keadilan untuk arwah dan adik saya serta dua anak mereka (yang terkorban),” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Aman Fasa 2, Mambang Di Awan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, Shaik Mohd. Firdaus, 53, maut bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, selepas dirempuh sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang sedang dalam perjalanan untuk mengambil Orang Kena Tahan (OKT) dalam satu operasi.

Isteri mangsa, Norhayati Razali, 55, yang turut terlibat dalam kemalangan itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan difahamkan berada dalam keadaan stabil.

Menurut Mohd. Nadzri, berita mengenai kejadian itu diterima keluarga kira-kira pukul 7 pagi dan pada awalnya mereka dimaklumkan hanya dua mangsa yang terkorban.

“Saya terima panggilan kira-kira pukul 7 pagi. Pada mulanya saya diberitahu dua beranak yang meninggal dunia.

“Kemudian adik saya telefon dengan anak (arwah) yang ada di sini dan dimaklumkan tiga orang yang terkorban. Bila dengar begitu, lagi sedihlah kami,” katanya.

Mohd. Nadzri berkata, kejadian itu turut menambah kesedihan keluarga yang masih belum pulih daripada kehilangan seorang lagi anggota keluarga pada Mei lalu.

“30 Mei lalu, adik saya yang ketiga meninggal dunia. Sekarang anak-anak saudara dan adik ipar saya pula terkorban. Saya tengok video (tular) pun rasa sedih,” katanya.

Menurut Mohd. Nadzri, antara kenangan terakhirnya bersama mangsa adalah ketika mereka ke tanah perkuburan kira-kira dua minggu lalu untuk membersihkan kubur ibu dan bapanya.

Katanya, kenangan berkenaan juga menjadi antara momen terakhir bersama dua anak saudaranya yang turut terkorban dalam kemalangan berkenaan.

“Saya sedih dengan kejadian yang berlaku. Anak adik ipar yang bongsu rapat dengan bapanya. Kalau naik motosikal untuk ke sekolah, saya selalu nampak dia peluk bapanya,” katanya. – UTUSAN

The post Keluarga mahukan keadilan, siasatan telus nahas babitkan tiga beranak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved