
Kundasang: Siasatan segera diminta dijalankan terhadap dakwaan aktiviti pembinaan dan penggerudian di Gunung Kinabalu susulan penularan gambar berkaitan di media sosial.
Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Kundasang Datuk Japiril Suhaimin (gambar) berkata Taman-Taman Sabah dan agensi kerajaan berkaitan perlu mengenal pasti lokasi sebenar, jenis serta tujuan aktiviti itu, termasuk sama ada permit dan kelulusan yang diperlukan telah diperoleh.
Beliau berkata pihak berkuasa juga perlu menentukan sama ada tapak berkenaan terletak dalam Taman Kinabalu, zon penampannya atau kawasan di bawah bidang kuasa agensi lain.
“Pihak berkuasa perlu mengenal pasti lokasi sebenar aktiviti itu, jenis, tujuan dan skop kerja yang dijalankan, pihak yang melaksanakannya serta status permit, kelulusan dan kebenaran yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Japiril berkata siasatan itu juga perlu menilai kemungkinan kesan terhadap sumber air, kestabilan tanah, biodiversiti, ekosistem dan alam sekitar di kawasan berkenaan.
Beliau menggesa penilaian teknikal dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan risiko serta menentukan langkah pencegahan yang bersesuaian.
Japiril menegaskan bahawa gambar berkenaan perlu disahkan oleh pihak berkuasa berkaitan dan siasatan perlu mengenal pasti fakta sebenar sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
Beliau berkata Gunung Kinabalu bukan sekadar tapak warisan alam semula jadi dan tarikan pelancongan utama, malah mempunyai kepentingan budaya, adat dan kerohanian bagi masyarakat Dusun.
Sekiranya kawasan terbabit mempunyai kepentingan adat, beliau berkata pandangan masyarakat setempat, pemimpin daerah dan penjaga adat perlu diambil kira.
Beliau menegaskan bahawa gesaan itu bukan bertujuan menghalang pembangunan yang sah atau menafikan kepentingan peluang ekonomi dan pekerjaan.



![[VIDEO] Percutian berakhir tragedi, 3 maut dihempap menara batu di Cappadocia](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/RAGAM-BATU-1024x768.jpg)

