GEORGE TOWN - 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang mendesak kerajaan negeri menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Negeri (SCI) dengan segera bagi menyiasat tragedi tanah runtuh di Paya Terubong yang mengorbankan seorang doktor berusia 73 tahun pada 25 Oktober lalu.
Mereka adalah Sahabat Alam Malaysia, Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP), Penang Hills Watch, Tanjung Bungah Residents Association, Jaringan Ekologi Dan Iklim, Penang Heritage Trust, Penang Forum, Women’s Centre for Change, Aliran, ProtectKarpal Coalition, Persatuan Agora dan Persatuan Kejiranan Gelugor.
Wakil NGO berkenaan, Meenakshi Raman berkata, kesemua mereka berpandangan penubuhan suruhanjaya itu penting bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk faktor yang menyumbang kepada tragedi berkenaan, pihak yang terlibat serta bentuk kelulusan pembangunan yang diberikan oleh pihak berkuasa.
Menurutnya, siasatan menyeluruh juga perlu menentukan sama ada wujud unsur kecuaian, kelemahan dalam tindakan penguatkuasaan atau kegagalan melaksanakan langkah keselamatan sehingga menyebabkan kejadian berkenaan berlaku.
"Selain itu, SCI perlu meneliti tahap pematuhan terhadap undang-undang dan garis panduan berkaitan serta mengenal pasti pihak yang perlu dipertanggungjawabkan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran.
"Penubuhan SCI seumpama itu pernah dilakukan susulan tragedi tanah runtuh di tapak pembinaan Granito, Tanjung Bungah yang mengorbankan 11 nyawa pada 21 Oktober 2017," katanya pada sidang akhbar di hadapan Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff.
Sebelum ini, dalam kejadian kira-kira jam 8.36 pagi Ahad, seorang doktor, Wong Kar Lin, 73, maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang turut menjejaskan kediamannya.
Isteri mangsa, Chang Mei Nuo, 68 dan ibu mentuanya, Wong Poh Lim, 80-an bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri.
Tambah Meenakshi, hasil siasatan ketika itu membawa kepada beberapa perakuan kepada pihak berkuasa negeri berkaitan pembangunan di kawasan cerun bukit termasuk aspek pemantauan dan kawalan pembangunan.
"Malah laporan berkenaan turut mengemukakan cadangan supaya tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab secara langsung atas perbuatan cuai dan pelanggaran undang-undang.
"Bagaimanapun, kami berasa kecewa apabila tragedi tanah runtuh di Paya Terubong masih berlaku walaupun pelbagai pengajaran telah diperoleh daripada kejadian Granito.
“Jelas sekali, selepas sembilan tahun, masih terdapat kelemahan yang belum ditangani sepenuhnya dan keadaan ini menuntut tindakan pembetulan yang segera serta menyeluruh,” katanya.
Sehubungan itu, Meenakshi yang juga Presiden SAM menegaskan, SCI yang ditubuhkan perlu menjalankan siasatan secara telus dan terbuka kepada orang awam bagi mengenal pasti kelemahan serta kegagalan yang membawa kepada tragedi berkenaan.
Dalam pada itu, kesemua mereka turut mempersoalkan sama ada pihak berkuasa benar-benar mengambil iktibar daripada tragedi terdahulu atau sebaliknya terus saling menuding jari dan melepaskan tanggungjawab.
Mereka turut membangkitkan kebimbangan terhadap Draf Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2040 yang sedang dalam proses kajian semula kerana didakwa mengandungi cadangan membenarkan pembangunan di kawasan bukit dan cerun melebihi ketinggian 76 meter atau mempunyai kecerunan melebihi 25 darjah.
Menurut Meenakshi, cadangan itu merupakan penyimpangan serius daripada ketetapan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 yang sedang berkuat kuasa.
"Pertubuhan terbabit telah mengemukakan bantahan terhadap cadangan berkenaan menerusi maklum balas kepada PLANMalaysia dan berharap kebimbangan itu diberikan perhatian serius.
"Kami juga menggesa kerajaan negeri menjadikan tragedi Paya Terubong sebagai pengajaran penting supaya kawasan bukit dan cerun yang sensitif dari segi alam sekitar tidak diganggu atau diteroka untuk tujuan pembangunan," katanya.
Dalam pada itu, mereka turut menyifatkan cadangan melonggarkan sekatan pembangunan di kawasan bukit sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi selepas tiga tragedi tanah runtuh di lokasi berasingan iaitu Granito, Bukit Kukus dan Paya Terubong yang mengakibatkan kehilangan nyawa.
"Kami berpandangan kejadian berulang itu menunjukkan pengajaran daripada tragedi terdahulu masih belum diterjemahkan sepenuhnya kepada tindakan pencegahan selain mempersoalkan tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
"Justeru, kerajaan negeri didesak memastikan semua pihak yang bertanggungjawab terhadap tragedi berkenaan dikenakan hukuman setimpal dan seberat-beratnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," ujarnya.
Selain itu, Meenakshi berkata, mereka menggesa kerajaan negeri membatalkan cadangan membenarkan pembangunan di kawasan berketinggian melebihi 76 meter atau mempunyai kecerunan melebihi 25 darjah.






