
KUALA LUMPUR – Siasatan terhadap dakwaan transaksi kewangan luar biasa dalam akaun bank seorang pegawai kanan tentera mesti dijalankan secara bebas, profesional dan tanpa campur tangan luar.
Perkara berkenaan ditegas oleh Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Bersara Angkatan Tentera (RAFOC), Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Abdul Aziz Ibrahim bagi memastikan kebenaran terungkap.
Sambil menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai serius, Abdul Aziz berkata, ia perlu ditangani dengan penuh berhemah, berlandaskan prinsip keadilan ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’.
Semua proses siasatan, katanya, hendaklah mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada, khususnya di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Angkatan Tentera 1972.
“Langkah pembetulan dan pengukuhan sistem perolehan perlu dilaksanakan segera bagi menutup ruang penyelewengan masa hadapan.
‘Siasatan ini perlu menjadi peringatan tegas kepada semua pegawai bahawa pangkat datang dengan tanggungjawab moral yang lebih besar, dan integriti adalah maruah yang tidak boleh dijual beli. Isu ini perlu dilihat secara objektif tanpa sebarang prejudis,’’ katanya dalam kenyataan.
SPRM sebelum ini memaklumkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung dakwaan Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mengenai isu pengubahan wang haram melibatkan pegawai kanan ATM.
Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, beberapa saksi akan dipanggil bagi siasatan dakwaan transaksi luar biasa melibatkan akaun pegawai terbabit.
Beliau turut mengesahkan satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Malah, semalam, sekumpulan pegawai SPRM telah hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk menyiasat kes berkenaan.
Menurut Abdul Aziz, meskipun proses perundangan sivil perlu dihormati namun instrumen pentadbiran dalam peraturan ini membolehkan tindakan tegas diambil bagi melindungi maruah organisasi
.
"Ia termasuk penyelarasan semula pangkat dan pemberhentian faedah tertentu, bagi memastikan bahawa pegawai yang gagal menjunjung amanah tidak terus mencemari kesucian institusi serta memastikan akauntabiliti terhadap pengurusan dana awam yang dipertanggungjawabkan," katanya.
Bagaimanapun, tegasnya, perkara berkenaan tidak seharusnya mencerminkan keseluruhan imej ATM yang terdiri daripada ratusan ribuan anggota yang berkhidmat dengan jujur dan berani. - 25 Disember, 2025
The post Siasatan isu transaksi mencurigakan pegawai kanan ATM perlu telus, tanpa campur tangan luar : RAFOC appeared first on Scoop.


