
Kota Kinabalu: Siasatan kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan diteruskan seperti dijadualkan walaupun Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal berlangsung.
Peguam Mohd Sharulnizam Mohd Salleh ketika mengulas pertanyaan media mengenai kemungkinan penjadualan semula prosiding susulan pilihan raya itu berkata tiada permohonan rasmi penangguhan dibuat setakat ini.
“Setakat ini siasatan diteruskan seperti biasa. Tiada permohonan untuk menjadual semula telah dikemukakan.
“Apabila tarikh penting bagi PRN diumumkan kelak kami akan pertimbangkan untuk membuat permohonan yang perlu bergantung kepada masa yang ditetapkan,” katanya.
Mohd Sharulnizam turut mengakui bahawa beberapa pihak terlibat dalam siasatan termasuk wakil guaman mungkin mempunyai tanggungjawab berkaitan urusan pilihan raya.
“Saya percaya ramai pihak akan terlibat bagi memastikan pilihan raya negeri berjalan lancar. Koroner juga telah memaklumkan bahawa sebaik sahaja tarikh pilihan raya disahkan peguam boleh mengemukakan permohonan dan perbincangan akan diadakan bagi mengatur perjalanan prosiding siasatan,” katanya.

