Siasatan projek saluran paip gas RM9.4 bilion masih diteruskan, wujud unsur penyelewengan – Anwar

LocalPolitics
3 Nov 2026 • 1:19 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Siasatan projek saluran paip gas RM9.4 bilion masih diteruskan, wujud unsur penyelewengan – Anwar Image from: Siasatan projek saluran paip gas RM9.4 bilion masih diteruskan, wujud unsur penyelewengan – Anwar hamden03/11/2026 - 13:19 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Nov - Siasatan terhadap dua projek saluran paip gas bernilai keseluruhan RM9.4 bilion yang dibatalkan, iaitu Projek Saluran Paip Gas Sabah (TSGP) dan Projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) masih diteruskan berikutan terdapat petunjuk unsur penyelewengan dalam pelaksanaannya.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun siasatan tersebut berdepan kesukaran mendapatkan maklumat kerana ia melibatkan dua negara.

 

Beliau menegaskan kes itu belum ditutup, walaupun kerajaan bersetuju mengalihkan pinjaman berkaitan berjumlah RM5 bilion daripada projek berkenaan untuk membiayai pembangunan infrastruktur bekalan air di Perak dan Pulau Pinang.

 

“Kes ini belum ditutup. Maklumat siasatan saya terima tetap ada elemen sakau tak boleh nafi, tetapi bila siasatan melibat dua negara dia membabitkan maklumat yang tidak boleh perolehi setakat ini... mudahan kita dapat teruskan ,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, Selasa.

 

Perdana Menteri menjawab soalan Datuk Jonathan Yasin (GRS-Ranau) mengenai langkah-langkah Kerajaan untuk mendapatkan semula wang yang telah dibayar sedangkan kerja belum disiapkan melibatkan projek TSGP dan MPP.

 

Anwar berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdepan kesukaran dalam menjalankan siasatan, namun beliau menegaskan perkara itu tidak dipandang ringan.

 

"Betul dana itu asalnya untuk Sabah, tetapi oleh kerana kegagalan dan betul memang ada salah laku yang besar kerana perjanjian melibatkan RM9 bilion, tidak ada tender, tidak ada ketelusan. Syarat perjanjian yang sangat aneh. Projek boleh dijalankan, mesti dibayar, walaupun tidak ada kemajuan," katanya menjawab soalan tambahan . 

 

Kontrak diberikan menerusi rundingan terus 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kedua-dua kontrak itu diberikan menerusi rundingan terus kepada China Petroleum Pipeline Bureau pada November 2016, dengan TSGP bernilai RM4.06 bilion dan MPP berjumlah RM5.35 bilion.

 

Menjelang 2018, sebanyak RM8.3 bilion atau 88% daripada nilai keseluruhan kontrak telah dibayar, walaupun kemajuan pembinaan dilaporkan hanya sekitar 13%.

 

“Jika pembayaran perlu dibuat pada Disember, ia tetap dibayar walaupun projek belum menunjukkan kemajuan. Saya tidak memahami kaedah itu, tetapi begitulah cara pembayaran diluluskan,” katanya.

 

TSGP dirancang untuk menghubungkan Kimanis dengan Sandakan dan Tawau di Sabah, manakala MPP bertujuan menghubungkan Melaka dan Port Dickson dengan Jitra, Kedah.

 

Kedua-dua projek itu diuruskan oleh Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

 

Anwar berkata, kontrak kedua-dua projek telah ditamatkan pada tahun 2018 menyebabkan Kerajaan Persekutuan berdepan obligasi pembayaran balik pinjaman kepada China EximBank berjumlah RM8 bilion.

 

Usaha penyelesaian

Perdana Menteri berkata, usaha penyelesaian telah dilakukan sejak tiga pentadbiran terdahulu di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Namun, ia masih belum dapat diselesaikan.

 

"Di bawah Kerajaan MADANI, kita berusaha mengadakan rundingan bagi meraih penyelesaian yang boleh mengurangkan nilai kerugian dana rakyat. 

 

"Alhamdulillah, pada Jumaat, 30 Oktober 2026 lalu, saya menyaksikan pemeteraian perjanjian antara SSER dengan China EximBank bagi penyaluran semula pinjaman bernilai  RM5 bilion untuk membiayai Skim Bekalan Air Perak UtaraPulau Pinang atau Northern Perak-Penang Water Supply Scheme (NPWSS).  

 

"Tanpa perjanjian tersebut Kerajaan bakal menanggung kerugian mencecah RM8 bilion, mengambil kira obligasi membayar balik pinjaman TSGP dan MPP sedangkan kedua-dua projek tidak disempurnakan dan tiada manfaat diperolehi.  

 

Projek untuk Sabah

Mengulas kebimbangan mengenai pengalihan dana yang pada asalnya diperuntukkan untuk Sabah, beliau berkata kerajaan Persekutuan akan terus menyokong keperluan bekalan elektrik negeri itu menerusi beberapa projek lain.

 

Antaranya termasuk sistem penyimpanan tenaga bateri di Lahad Datu bernilai RM644 juta dan pembiayaan RM765 juta bagi projek penghantaran elektrik Southern Link.

 

Selain itu, projek hidroelektrik Ulu Padas bernilai RM4 bilion turut disenaraikan sebagai antara inisiatif bagi menyokong keperluan tenaga Sabah.

 

Projek itu dibiayai oleh pemaju menerusi aturan pengeluar tenaga bebas (IPP) yang melibatkan Sabah Energy Corporation dan disasarkan mula beroperasi pada 2030. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved