Siasatan punca kebakaran Pasar Borong Selangor dimulakan Isnin - JBPM

25 Jul 2026 • 3:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Siasatan punca kebakaran Pasar Borong Selangor dimulakan Isnin - JBPM
Keadaan Pasar Borong Selangor selepas terbakar dalam kejadian Khamis lalu. - Gambar kecil (Ashrul Riezal) - Foto: JBPM Selangor

SERDANG - Siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran Pasar Borong Selangor di sini akan dimulakan pada Isnin.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, penilaian awal oleh pegawai siasatan dan unit anjing pengesan (K9) JBPM telah dimulakan pada petang Jumaat.

"Premis terjejas telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan JBPM Selangor dan akan memulakan siasatan bermula Isnin ini.

"Disebabkan keadaan dalam kawasan yang masih berbahang dan panas, K9 tidak boleh memasuki kawasan hotspot," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Berhubung elemen khianat atau kecuaian hingga berlaku insiden kebakaran itu, beliau menjelaskan perkara itu masih dalam siasatan.

Pusat Gerakan Operasi JBPM menerima panggilan kecemasan pada jam 11.04 malam, Khamis lalu memaklumkan kejadian itu sebelum kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.20 pagi.

Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian terbabit.

Kebakaran memusnahkan kira-kira 90 peratus Blok B4 pasar borong itu menempatkan tiga premis iaitu sebuah kedai menjual perkakasan katering dan barangan dapur, sebuah kedai menjual telur serta sebuah kedai perkakasan.

Operasi pemadaman membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan dengan bantuan BBP Bukit Jalil, BBP Presint 7, BBP Bandar Tun Hussein Onn, BBP Petaling Jaya, BBP Bangi, BBP KLIA, BBP Keramat, BBP Hang Tuah, BBP Hartamas, BBP Cyberjaya, BBP Bukit Jelutong, BBP Subang Jaya dan BBP Damansara.

Operasi itu dibantu pasukan bomba sukarela, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) serta pasukan keselamatan Pasar Borong Selangor.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved