KUALA LUMPUR - Polis kini berada di peringkat akhir siasatan berhubung Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, dan keputusan sama ada wujud asas untuk pendakwaan dijangka dibuat dalam masa terdekat, kata Bukit Aman.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pasukan penyiasat kini melengkapkan siasatan serta mengumpulkan bukti yang mencukupi bagi memastikan sebarang tindakan undang-undang diambil secara telus dan berintegriti.
“Kes ini bukan perkara baharu, sebaliknya membabitkan beberapa siri siasatan yang dijalankan antara 2016 hingga 2018,” katanya ketika muncul dalam podcast MMTV PodX pada Ahad.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak dapat mengulas lanjut mengenai kemungkinan individu yang akan didakwa kerana tidak mahu membuat sebarang kesimpulan sebelum siasatan selesai.
“Saya tidak boleh komen lebih lanjut kerana kita tidak mahu orang di luar membuat kesimpulan sendiri mengenai siapa yang mungkin akan didakwa.
“Bagi pihak polis, bukti kukuh adalah asas paling penting. Jadi, berikan ruang sepenuhnya kepada PDRM untuk melengkapkan siasatan ini secara menyeluruh,” katanya.

Sebelum ini, lima individu termasuk bekas pengerusi Tabung Haji, bekas ketua pegawai eksekutif, bekas ketua pegawai kewangan serta seorang kakitangan yang masih berkhidmat dengan institusi berkenaan ditahan bagi membantu siasatan kes RCI Tabung Haji.
Rusdi berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai bidang kuasa serta peranan yang jelas mengikut undang-undang dalam menjalankan siasatan berprofil tinggi itu.
Menurutnya, tumpuan PDRM adalah terhadap kesalahan jenayah komersial, khususnya kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan penipuan serta Seksyen 409 berkaitan pecah amanah jenayah.
“Sebarang unsur penyalahgunaan kuasa atau rasuah pula sepenuhnya berada dalam bidang siasatan SPRM mengikut Akta SPRM 2009.
“Siasatan merentas agensi ini turut merangkumi pelbagai aspek perundangan lain, termasuk kemungkinan kesalahan di bawah Akta Syarikat serta peraturan Suruhanjaya Sekuriti (SC).
“Sekiranya PDRM mengesan sebarang kesalahan yang berada di luar bidang kuasa polis sepanjang siasatan dijalankan, kes berkenaan akan dirujuk kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Rusdi berkata, proses rujukan antara agensi penguat kuasa merupakan perkara biasa, termasuk apabila laporan yang diterima polis didapati lebih sesuai dikendalikan oleh agensi lain.
“Begitu juga terdapat laporan yang diterima agensi luar sebelum dirujuk kepada PDRM bagi memastikan tindakan undang-undang sewajarnya dapat diambil,” katanya. - Getaran, 14 September 2026






