liza05/08/2026 - 10:03 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Ogos – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) sebuah syarikat milik badan berkanun bagi membantu siasatan berhubung pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta.
Mereka yang berusia 68 dan 60 tahun disyaki menyalahgunakan kuasa dalam urusan pembelian saham berkenaan.
Difahamkan, kedua-dua mereka hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi memberikan keterangan sebelum ditahan kira-kira pukul 6.30 petang semalam untuk membantu siasatan.
Bagaimanapun, kedua-duanya dibebaskan pada malam yang sama disebabkan faktor kesihatan.
Mereka dijadual hadir semula ke ibu pejabat SPRM pada pukul 10 pagi ini bagi menyambung rakaman percakapan.
ARTIKEL BERKAITAN: SPRM tahan dua individu susulan RCI Tabung Haji
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan penahanan tersebut ketika dihubungi media.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Siasatan berkenaan adalah antara tindakan yang diambil SPRM selepas pasukan petugas khas ditubuhkan untuk menyemak dan meneliti dapatan Laporan RCI Tabung Haji yang didedahkan kepada umum oleh kerajaan baru-baru ini.
Semalam, SPRM menahan dua individu dalam dua siasatan berasingan membabitkan projek pembekalan benih getah bernilai RM8 juta dan dakwaan rasuah kira-kira RM300,000 susulan semakan terhadap dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Kedua-dua suspek direman selepas Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan SPRM bagi membantu siasatan yang dijalankan pasukan petugas khas ditubuhkan untuk meneliti dapatan laporan RCI berkenaan.
Pada 31 Julai lalu, SPRM memulakan siasatan terhadap dapatan Laporan RCI Tabung Haji dengan menugaskan lapan pegawai ke bangunan Tabung Haji bagi mendapatkan dokumen dan maklumat berkaitan untuk tujuan siasatan.- DagangNews.com






