#SiBibirMerah: Puas berbakti kepada mak ayah, bila pergi tiada sesalan, Chef Wan jadi inspirasi

Family & Parenting
14 Jan 2023 • 10:00 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

PUAS berbakti kepada ibu bapa semasa hayat mereka, apabila keduanya sudah tiada lagi, pasti tidak akan ada sesalan pada hati anak-anak.

Ibu bapa adalah dua insan yang paling berjasa. Mereka sanggup melakukan apa sahaja, bersusah payah asalkan segala keperluan permata hati dipenuhi.

Pemergian ibu cef selebriti, Chef Wan baru-baru ini menjadi perhatian ramai. Bagi yang follow laman sosial Instagram beliau pasti tahu betapa beliau amat menjaga insan keramatnya itu.

image is not available

Arwah ibunya, Noraini Abdullah, 93, atau selalu dirujuk dengan panggilan Cik Ani menghidapi kanser payudara, demensia dan Alzheimer. Di hujung usia, beliau mengalami kegagalan hati kerana perebakan sel kanser.

Chef Wan wajar dijadikan inspirasi kepada kita semua. Beliau adalah contoh yang tepat seorang anak menjaga dan memuliakan permaisuri hatinya.

Tip top layanan Chef Wan buat arwah Cik Ani membuatkan Bibir Merah rasa kagum dan bangga. Betapa bertuah seorang ibu memiliki anak sepertinya. Celoteh mesra beliau dengan si ibu membuatkan warga maya teringatkan emak sendiri.

image is not available

Bersedia sebarang kemungkinan, Chef Wan sangggup tolak menjadi hos beberapa program televisyen berkaitan kulinari dan travelog untuk meluangkan masa dengan emaknya.

Malah beliau upah jururawat peribadi bergaji hampir RM6,000 sebulan untuk jaga arwah.

Apabila ibu sakit tenat baru-baru ni, Chef Wan dapatkan bilik suite di hospital swasta. Jumlah bil untuk 11 hari harga sebuah kereta, iaitu RM58,000!

Malah kongsinya beberapa tahun lepas beliau telah memperuntukkan kira-kira RM350,000 untuk perbelanjaan perubatan dan perjalanan terakhir Cik Ani.

Kini apabila ibunya tiada, Chef Wan berkongsi di Instagram tentang rasa kehilangan. Tapi ia hadir tanpa ada sesalan kerana beliau sudah memberi yang terbaik.

image is not available

“Setiap kali saya berduka, saya cuba ubati hati dengan memikirkan semua masa indah yang saya luangkan dengan ibu dan sentiasa membuat dia ketawa serta gembira. Alhamdulilah itu adalah ubat sebaik-baiknya. Tiada rasa apa-apa kesalan, malahan amat bahagia. Serta-merta ALLAH mengembalikan kebahagiaan dan senyuman saya,” – Chef Wan.

Bibir Merah cuma nak ingatkan kalian jangan lupa layan dan luang masa dengan mak ayah selagi mereka masih ada supaya kita tak rasa ralat. Jangan menyesal kemudian hari banyak perkara tak sempat buat!

Berikut adalah beberapa tanggungjawab anak kepada ibu bapa dalam Islam. Jadikan panduan ya.

image is not available
Gambar hiasan (Kredit foto: Freepik)

Semasa ibu bapa masih hidup:

1.Berlaku baik kepada mereka dan tidak meninggikan suara di hadapan mereka.

2.Membantu mereka dari sudut kemampuan setakat yang mampu.

3.Taat kepada mereka dan tidak sesekali menderhaka.

4. Sentiasa mendoakan mereka.

Selepas ibu bapa meninggal dunia:

1. Tunaikan hutang-hutang yang wajib iaitu hutang dengan ALLAH SWT seperti puasa, haji, nazar dan sebagainya.

2. Langsaikan hutang-hutang ibubapa yang telah pergi kepada manusia setakat yang mampu.

3. Sentiasa doakan kepada mereka kerana doa anak soleh kepada ibu bapa adalah amalan yang tidak terputus.

4. Menziarahi sahabat-sahabat kepada kedua ibu bapa menyambung silaturahim.

5. Bersedekah bagi pihak mereka.

6. Tunaikan dan penuhi wasiat ibu bapa yang telah pergi dengan baik.

Si Bibir Merah: Buat baik pada mak ayah. Jangan berkira duit, tenaga dan masa sebab kita tak tahu kita atau mereka yang akan ‘pergi’ dulu.

Kredit foto utama: Freepik

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi