‘Sibuk bau badan orang, orang gemuk pun ada hak berfesyen’

Women's FashionLifestyle
9 Aug 2026 • 11:32 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Sibuk bau badan orang, orang gemuk pun ada hak berfesyen’

PETALING JAYA – Pelakon Zila Bakarin menyelar tindakan segelintir netizen memperlekeh golongan berbadan gempal, termasuk mempertikaikan penampilan mereka ketika menghadiri Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026.

Zila atau nama sebenarnya Rosmawati Bakarin, 51, menyifatkan kritikan sedemikian sebagai keterlaluan kerana setiap individu berhak menentukan gaya serta pakaian sendiri tanpa perlu dihukum berdasarkan bentuk tubuh.

“Maaf cakap, apa? Orang gemuk dan tembun tidak boleh berfesyen? Kalau rasa badan dia berbau, siapa suruh pergi hidu?

“Semua orang berpeluh, bukan orang gemuk sahaja. Jangan fikir orang kurus semuanya tidak berbau atau tidak berpeluh.

“Cuma janganlah mengata sampai begitu sekali. Semua orang berhak untuk berfesyen,” katanya dalam Threads.

Tambah bintang drama Panggil Aku Dahlia itu, tindakan menilai seseorang berdasarkan saiz tubuh hanya memperlihatkan sikap prejudis, sedangkan acara fesyen sepatutnya meraikan kepelbagaian gaya serta ekspresi diri.

“Yang mata awak nampak cuma orang gemuk? Atau memang itu selera awak tetapi acah-acah mahu menghina?

“Kan ramai lagi orang kurus. Ini KLFW di Malaysia, bukan Paris atau Milan Fashion Week. Awak harap apa? Awak lelaki, tetapi asal mulut sahaja bercakap begitu. Meluat!,” tegasnya.

Teguran Zila itu hadir selepas seorang netizen meluahkan rasa kurang senang terhadap penampilan pengunjung KLFW 2026 menerusi media sosial.

Individu terbabit mempersoalkan pemilihan tetamu acara berkenaan sambil menyamakan suasana KLFW dengan acara permotoran RXZ di Kuala Terengganu.

“Kenapa KL Fashion Week 2026 semua orang datang gemuk-gemuk dan tembun? Tidak selera mahu tengok. Saya ingat macam Paris atau Milan Fashion Week, semua yang datang stok cuci mata.

“Ini hendak cuci mata pun meluat. Gemuk! Lepas itu mesti macam berbau apabila berpeluh. Pereka atau penganjur acara tidak pilih orang yang betul-betul sesuai ke? Asal boleh sahaja jemput. Macam acara RXZ Kuala Terengganu!” tulis individu terbabit.

Kenyataan tersebut kemudian mengundang pelbagai reaksi netizen, malah ada menyifatkan komen berkenaan sebagai keterlaluan serta tidak mencerminkan semangat sebenar dunia fesyen. – KOSMO! ONLINE.

The post ‘Sibuk bau badan orang, orang gemuk pun ada hak berfesyen’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved