SIC harap Petronas kekal

31 Oct 2026 • 9:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: SIC harap Petronas kekal

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) berharap Petronas kekal sebagai penaja utama Grand Prix (GP) Malaysia dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) untuk tempoh lima tahun lagi sehingga 2031 seiring dengan lanjutan kontrak penganjuran bersama pemegang hak, Dorna Sports.

Kontrak penajaan Petronas bagi GP Malaysia difahamkan bakal berakhir pada penghujung musim ini, namun usaha untuk meneruskan kerjasama itu dalam perbincangan bagi memastikan kesinambungan sokongan syarikat minyak dan gas gergasi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya berharap perjanjian penajaan baharu dapat diselaraskan dengan tempoh kontrak penganjuran GP Malaysia bersama Dorna iaitu bagi tempoh lima tahun bermula 2027 hingga 2031.

“Kalau boleh, kita mahu kontrak penajaan itu dapat diselaraskan dengan kontrak kita bersama Dorna iaitu untuk tempoh lima tahun sehingga 2031.

“Kita sangat berharap Petronas dapat terus kekal bersama kita untuk masa akan datang. Petronas merupakan satu jenama yang amat hebat dan sudah begitu sinonim dengan sukan MotoGP,” katanya ketika mengulas mengenai usaha Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu memastikan Petronas terus menjadi penaja utama penganjuran GP Malaysia.

Mengulas lanjut, Shafriman berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang keputusan rasmi berhubung status penajaan itu dan menyerahkan rundingan lanjut kepada Petronas serta Dorna.

“Masih terlalu awal untuk saya mengulas lebih lanjut mengenai perkara ini. Setakat ini, kita belum mendengar apa-apa perkembangan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Petronas serta Dorna untuk berbincang secara terperinci.

“Apa-apa pun, keputusan akhir terletak di tangan Petronas sendiri dan harapan kami sudah tentu mahukan keputusan positif daripada perbincangan tersebut,” katanya.

 

The post SIC harap Petronas kekal appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved