SIC: Lebih RM300 juta syarat Malaysia kembali anjur Formula 1

29 Jul 2026 • 1:32 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SIC: Lebih RM300 juta syarat Malaysia kembali anjur Formula 1

SEPANG 29 JULAI: Malaysia perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM300 juta setahun sekiranya mahu mendapatkan semula slot tetap Formula 1 (F1) dalam kalendar perlumbaan dunia, kata Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Azhan Shafriman Hanif.

Beliau berkata anggaran itu merangkumi yuran hak penganjuran Formula 1 yang kini dianggarkan sekitar US$70 juta-US$80 juta (RM289 juta hingga RM340 juta) serta kos persiapan tempatan, bagi memenuhi spesifikasi penganjuran perlumbaan berprestij itu.

“Anggaran saya tidak kurang daripada RM300 juta. Itu dari segi kos. Tetapi kita perlu lihat pulangan secara keseluruhan. Data yang saya lihat, kebanyakan negara hos mendapat pulangan sekurang-kurangnya tiga kali ganda daripada nilai yang dibelanjakan.

“Maknanya jika belanja RM300 juta, potensi pulangan kepada negara boleh mencecah RM1 bilion,” katanya pada sidang media di SIC, hari ini.

Image from: SIC: Lebih RM300 juta syarat Malaysia kembali anjur Formula 1
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif ketika sidang media selepas majlis pecah tanah Pusat Pengalaman Memandu (DEC) di SIC pada 14 Jun 2022. Foto BERNAMA

Beliau berkata terdapat dua syarat utama sekiranya Malaysia mahu kembali memperoleh slot tetap dalam kalendar Formula 1, iaitu kemampuan membayar yuran hak penganjuran dan kekosongan slot dalam kalendar perlumbaan itu.

“Fokus kerajaan sekarang bukan untuk mengeluarkan wang bagi acara antarabangsa, tetapi untuk membantu rakyat dari segi ekonomi dan kos sara hidup. Mungkin pada masa hadapan, berdasarkan data yang kita peroleh daripada penganjuran ini, ia boleh menjadi titik tolak kepada keputusan kita.

“Faktor lain ialah slot dalam kalendar F1 itu sendiri. Jika tiada slot, ia tidak akan berlaku. Jadi dua kriteria utama ialah ada duit untuk bayar 'rights fees' dan ada slot dalam kalendar,” katanya.

Beliau berkata penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia dari 2 hingga 4 Oktober ini merupakan acara sekali sahaja dan tumpuan ketika ini ialah memastikan penganjurannya berjalan lancar.

“Buat masa sekarang, fokus kita adalah untuk menjayakan penganjuran ini. Kita kerja bersama Bahrain dan F1 untuk acara ‘one-off’ ini. Kita lihat jika kita boleh dapatkan kepercayaan daripada pihak berkepentingan, kerajaan, F1 dan kerajaan Bahrain. Mungkin kita boleh pertimbangkan semula,” katanya.

Malaysia sebelum ini pernah menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017, sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar Formula 1.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved