Sidang DUN Negeri Sembilan: Undang Yang Empat hadir atau tidak esok?

LocalPolitics
22 Apr 2026 • 7:48 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sidang DUN Negeri Sembilan: Undang Yang Empat hadir atau tidak esok?
Raptai Istiadat Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat Batalion Ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Syed Sirajuddin Gemas untuk perasmian penuh sidang DUN(sumber: Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan)

SEREMBAN - Perhatian kini tertumpu kepada majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-15 yang bakal dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, pada Khamis.

Ini kerana, lazimnya majlis tersebut akan dihadiri oleh Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

Namun, atas krisis takhta yang berlaku, tidak mustahil empat Undang terbabit iaitu Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak (Sungei Ujong), Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad (Jelebu), Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammad Abdullah (Johol), Datuk Sedia Raja Abdul Rahim Yasin (Rembau) dan Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri (Tunku Besar Tampin) tidak hadir dalam majlis rasmi berkenaan.

Ia selepas kesemua ketua kepada Luak terbabit secara kebulatan mengisytiharkan pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 dalam sidang media khas di Balai Undang Sungei Ujong pada 19 April lalu.

Mereka mendakwa keputusan itu dibuat disebabkan perbuatan salah laku Tuanku Muhriz, namun tidak dijelaskan intipatinya tetapi dinyatakan tindakan terbabit dibuat mengikut Perkara 10(1)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Malah, mereka turut menamakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.

Jika dilihat kepada perkembangan semasa, semestinya Mubarak yang paling pasti tidak hadir kerana Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam kenyataannya pada 20 April lepas memaklumkan beliau tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Aminuddin sebagai respon terhadap tindakan Mubarak yang menandatangani serta membacakan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz.

Malah beliau turut memberitahu bahawa tindakan Mubarak berkenaan tidak boleh diterima atau diiktiraf.

Sementara itu, menurut sumber, Tuanku Muhriz akan tetap menghadiri dan merasmikan pembukaan sidang DUN terbabit.

Mengikut aturcara majlis, baginda dijadual menyampaikan titah pembukaan pada jam 10 pagi selepas berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan di ruang legar hadapan bangunan DUN.

Tunku Syed Razman akan menjadi orang pertama yang memasuki DUN diikuti oleh Undang Yang Empat.

Difahamkan, surat jemputan rasmi kepada Tunku Syed Razman dan kesemua Undang telah pun dihantar lebih awal, sebelum krisis bermula.

Dalam pada itu di Facebook rasmi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dimuat naik gambar sekitar raptai Istiadat Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat Batalion Ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Syed Sirajuddin Gemas untuk perasmian penuh sidang DUN.