Sidang khas Dewan Rakyat bincang laporan RCI Tabung Haji pada 11 Ogos - PM Anwar

LocalPolitics
30 Jul 2026 • 6:27 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sidang khas Dewan Rakyat bincang laporan RCI Tabung Haji pada 11 Ogos - PM Anwar Image from: Sidang khas Dewan Rakyat bincang laporan RCI Tabung Haji pada 11 Ogos - PM Anwar hamden30/07/2026 - 18:27 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Julai - Sidang khas Dewan Rakyat bagi membincangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) akan diadakan pada 11 Ogos ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Beliau berkata, sidang khas itu akan bermula pada 10 pagi dan berlangsung sehingga sebelah petang selepas mendapat persetujuan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul.

 

"11 Ogos, sidang khas Parlimen. Saya telah berbincang dan Speaker Dewan Rakyat juga bersetuju.

 

"Ia akan bermula pada 10 pagi dan berterusan sehingga sebelah petang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan ibu pejabat baharu Maybank, Menara Merdeka Maybank.

 

Sidang tersebut memberi ruang kepada Ahli Parlimen untuk membahaskan dapatan serta cadangan yang terkandung dalam laporan RCI mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

 

Sebelum ini, Jemaah Menteri bersetuju untuk menyahklasifikasikan dan menerbitkan laporan penuh RCI berkenaan selepas suruhanjaya itu menjalankan penelitian terhadap pengurusan, operasi serta kedudukan kewangan TH.

 

Sementara itu, Anwar dalam ucapannya pada majlis pelancaran berkenaan berkata tadbir urus yang baik merupakan usaha moral dan institusi yang perlu dilaksanakan secara berterusan, selain tidak boleh bergantung kepada dasar semata-mata.

 

Sebaliknya, beliau berkata, sesebuah institusi memerlukan budaya akauntabiliti, peringatan etika yang berterusan serta mekanisme semakan sistemik bagi melindungi pemimpin dan organisasi daripada kelemahan manusia.

 

"Baru-baru ini, semalam sahaja, Jemaah Menteri bersetuju untuk menerbitkan laporan penuh RCI mengenai Tabung Haji.

 

"Sebuah institusi yang besar dan mempunyai sejarah gemilang — dicadangkan oleh tokoh ilmuwan dan pemikir terkemuka, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz, dengan rekod pencapaian yang cemerlang serta berkhidmat kepada ratusan ribu jemaah haji.

 

"Namun, institusi ini hampir runtuh akibat kecuaian dan kegagalan melindungi institusi serta kedudukan kewangannya, didorong oleh ketamakan, kerakusan dan nafsu yang akhirnya merosakkan institusi," katanya.

 

Bagaimanapun, Anwar berkata beliau bersyukur kerana kelemahan berkenaan dapat dikesan lebih awal dan sebahagian kerosakan berjaya dipulihkan.

 

Menurut beliau, TH mempunyai prospek masa depan yang cerah sekiranya prinsip integriti terus dipertahankan dalam pengurusan institusi tersebut. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved