
KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat akan mengadakan sidang khas esok bagi membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH).
Serentak dengan itu, tumpuan akan diberikan kepada penemuan berkaitan isu tadbir urus serta pengurusan kewangan institusi berkenaan.
Sidang khas tersebut dijadual bermula pada jam 10 pagi, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan, dijangka membentangkan laporan setebal 211 halaman berkenaan kepada ahli Parlimen sebelum sesi perbahasan dimulakan.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, antara 35 hingga 40 Ahli Parlimen dijangka mengambil bahagian dalam perbahasan tersebut.
Beliau berkata, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, bersetuju supaya persidangan khas itu berlangsung tanpa rehat bagi membolehkan lebih banyak masa diperuntukkan untuk perbahasan.
Perbahasan itu dijangka diakhiri dengan penggulungan oleh Zulkifli serta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Laporan RCI yang diterbitkan pada 29 Julai lalu meneliti pengurusan dan operasi TH sepanjang tempoh 2014 hingga 2020, termasuk kelemahan dalam aspek tadbir urus, pelaporan kewangan dan pengurusan pelaburan.
Antara penemuan utama RCI ialah TH sebenarnya akan mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM1.4 bilion pada 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan, sekiranya piawaian pelaporan kewangan Malaysia (MFRS) dilaksanakan sepenuhnya.
Laporan itu turut mendapati kedudukan kewangan TH semakin merosot dalam tempoh berkenaan, dengan jurang antara aset dan liabiliti mula wujud sejak 2014.
RCI turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemerosotan nilai pelaburan serta penilaian aset institusi berkenaan.
Menurut laporan tersebut, beberapa faktor dikenal pasti menyumbang kepada kemelut yang berlaku, antaranya pembayaran hibah yang tinggi, amalan perakaunan, kelemahan pemantauan, peluasan peranan TH sebagai institusi ekonomi serta peningkatan komitmen di bawah Skim Bantuan Kewangan Haji (HAFIS).
Suruhanjaya itu juga mengesyorkan supaya audit forensik dijalankan susulan penemuan berkaitan transaksi yang mencurigakan serta dakwaan wujud usaha menyembunyikan maklumat.
Pada masa sama, pihak berkuasa digesa mengambil tindakan terhadap laporan polis dan aduan yang dikaitkan dengan pengurusan TH sepanjang tempoh tersebut.
Penemuan RCI berkenaan kemudiannya meningkatkan desakan supaya pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya.
Pada Sabtu lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut menitahkan supaya siasatan diteruskan sehingga ke akar umbi bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab berdepan tindakan yang sewajarnya. - Getaran, 10 Ogos 2026






