
KUALA LUMPUR – Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH), esok akan diteruskan seperti yang dijadualkan.
Perkara itu disahkan Pusat Media Parlimen menerusi makluman kepada pengamal media petang ini.
“Sidang Khas esok akan berlangsung seperti yang telah dijadualkan,” menurut makluman tersebut.
Pengesahan itu dibuat ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dilaporkan selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia paraumbilikal.
Anwar kini menjalani rawatan fisioterapi dan berada di bawah pemantauan pasukan perubatan bagi memastikan proses pemulihannya berjalan lancar.
Sebelum ini, beliau sendiri mengumumkan Sidang Khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 11 Ogos (esok) bagi membahaskan laporan RCI berkaitan pengurusan TH.
Sidang berkenaan dijadual bermula pukul 10 pagi dan berlangsung sehingga selesai selepas cadangan penganjurannya dipersetujui Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Sidang khas itu diadakan bagi memberi ruang kepada Ahli-Ahli Parlimen membahaskan dapatan RCI berkaitan pengurusan dan tadbir urus TH.
Setakat ini, Pusat Media Parlimen tidak memaklumkan sebarang perubahan terhadap jadual sidang susulan keadaan kesihatan Perdana Menteri. – KOSMO! ONLINE
The post Sidang Khas RCI Tabung Haji tetap diteruskan esok appeared first on Kosmo Digital.






