Sidec lancar Program Pemecut Selangor 2023 untuk syarikat pemula teknologi 

Business & Finance
4 Jul 2023 • 2:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sidec lancar Program Pemecut Selangor 2023 untuk syarikat pemula teknologi

zulfadli

04/07/2023 - 14:35

KUALA LUMPUR 4 Julai - Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec) melancarkan kohort keenam Program Pemecut Selangor (SAP) 2023 bagi memupuk inovasi, menyokong keusahawanan, dan memacu pertumbuhan ekonomi di rantau ini.

Sidec memaklumkan, inisiatif yang disokong oleh Kerajaan Negeri Selangor bersama Affin Bank Bhd sebagai penaja utamanya dibuka untuk permohonan mulai sekarang hingga 4 Ogos 2023.

Katanya, syarikat pemula teknologi dengan idea inovatif dan semangat keusahawanan tinggi digalakkan memohon bagi mempamerkan potensi mereka.

"Program ini memfokuskan pada elemen Kecerdasan Buatan (AI), Impak Kelestarian, Teknologi Perubatan, Teknologi Pertanian dan Bioteknologi, yang mencerminkan trend semasa dalam kemajuan pembangunan bandar pintar dan ekonomi digital," katanya dalam kenyataan media di sini.

SAP 2023 menawarkan rangkaian sokongan komprehensif untuk syarikat pemula terpilih, termasuk modul program intensif dan berstruktur selama tiga bulan, bimbingan dan maklum balas pakar, peluang membina rangkaian dan kerjasama strategik.

Ketua Pegawai Eksekutif Sidec, Yong Kai Ping berkata, pihaknya kekal komited untuk menerajui transformasi digital Selangor sebagai hab digital ASEAN dan untuk mengukuhkan dan mengembangkan ekosistem pendigitalan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Jika anda seorang pengasas syarikat permulaan teknologi dalam AI, Net Zero, atau Biotech, jangan lepaskan peluang ini untuk membawa perniagaan anda ke peringkat seterusnya.

image is not available

"SAP adalah bukti komitmen itu dan menyediakan peluang unik untuk syarikat pemula teknologi untuk mempercepatkan perkembangan dan inovasi mereka. Buat permohonan sekarang untuk SAP 2023 dan sertai kami dalam merevolusikan landskap digital," katanya.

SAP telah terbukti menjadi platform pelancaran untuk syarikat permulaan sejak penubuhannya pada 2018. Program ini telah memupuk lebih 150 syarikat permulaan dengan 34% memperoleh pembiayaan yang mengagumkan.

Selain itu, 70 syarikat pemula telah mengambil bahagian dalam ekspedisi luar negara dan lawatan sambil belajar, memperoleh pendedahan antarabangsa yang tidak ternilai dan mengembangkan peluang mereka.

Sebelum ini pada SAP 2022, empat syarikat permulaan yang merupakan pemenang program iaitu Entomal Biotech, BlueDuck, Diet Ideas dan Swipey berjaya mendapat pembiayaan dalam tempoh enam bulanselepas melengkapkan program tersebut.

Untuk butiran lanjut dan buat permohonan, sila layari https://www.sidec.com.my/startup/sap2023/ - DagangNews.com