Sijil halal meragukan, AKPS bongkar cubaan seludup daging kerbau bernilai hampir setengah juta

8 Nov 2026 • 2:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sijil halal meragukan, AKPS bongkar cubaan seludup daging kerbau bernilai hampir setengah juta
AKPS membongkar cubaan menyeludup masuk 27,984 kilogram daging kerbau bernilai RM413,728.89 yang didapati mempunyai dokumen sijil halal meragukan di Pelabuhan Klang pada Jumaat.

PELABUHAN KLANG - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) membongkar cubaan menyeludup masuk 27,984 kilogram daging kerbau bernilai RM413,728.89 yang didapati mempunyai dokumen sijil halal meragukan di Pelabuhan Klang pada Jumaat.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kegiatan itu dikesan menerusi pemeriksaan terhadap satu konsainan dagangan komoditi haiwan yang diimport dari India.

Menurutnya, pemeriksaan oleh pegawai penguat kuasa AKPS kira-kira jam 10.40 pagi mendapati terdapat ketidakpadanan antara dokumen sijil halal yang dikemukakan dengan maklumat diisytiharkan dalam permit import.

Beliau berkata, dokumen berkenaan didapati mengandungi maklumat yang tidak selaras dengan pengisytiharan tersebut.

"Jumlah nilai anggaran keseluruhan barangan berkenaan adalah RM413,728.89.

"Susulan penemuan itu, semua barangan dagangan terbabit ditahan untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ujarnya, AKPS akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan dan memperkukuh kawalan di pintu masuk negara bagi membanteras ketidakpatuhan, manipulasi dokumen serta penyalahgunaan prosedur pengimportan.

"Barangan dagangan berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan serta siasatan lanjut.

"Kes disiasat berhubung kesalahan yang disyaki di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728)," katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved