
SETIAP orang ada cara sendiri menunjukkan kasih sayang. Ada yang cukup dengan kata-kata, ada pula yang membuktikannya melalui pengorbanan tanpa henti.
Namun bagi seorang kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), kasih itu diterjemahkan melalui perjalanan ratusan kilometer saban minggu hingga akhirnya, ia menjadi perjalanan terakhir yang meruntun jiwa.
Kisah menyentuh hati ini melibatkan Azman Mazni, yang dilaporkan maut dalam satu kemalangan jalan raya pada Sabtu ketika dalam perjalanan pulang dari Papar, Sabah menuju ke kediamannya di Sibu, Sarawak.
Sahabatnya, S Faizzul Syar dalam satu hantarandi Facebook berkongsi kisah arwah.
Allahyarham yang bertugas di Depot Imigresen Papar terkenal sebagai individu yang tidak pernah berkira soal penat demi keluarga tercinta.

Rutin mingguannya bukan biasa-biasa, setiap minggu, dia sanggup merentas perjalanan lebih 700 kilometer, sama ada ke Miri atau Sibu, semata-mata untuk meluangkan masa bersama insan tersayang.
Mengimbas detik menerima berita duka itu, Faizzul memberitahu, dia menerima mesej dan panggilan hampir serentak pada malam kejadian.
“Sekitar jam 9.45 malam saya dapat WhatsApp daripada rakan di Depot Imigresen Papar, dalam masa sama ada panggilan dari kawan di Bintulu beritahu sahabat kami terlibat kemalangan.
"Kali terakhir kami berborak dalam grup WhatsApp lebih kurang jam 8 malam,” kongsinya, menggambarkan betapa pantas segalanya berlaku.
Tambahnya lagi, pengorbanan arwah sebagai seorang suami, ayah dan anak memang tidak pernah dipersoalkan.
“Setiap minggu dia ulang-alik dari Papar ke Sarawak. Di Miri ada ibu yang perlu dijaga, di Sibu pula ada isteri dan anak menunggu.
"Perjalanan itu bukan dekat, lebih 700 kilometer dan siap merentas Brunei lagi,” katanya lagi dengan nada sebak.
Perjalanan terakhir
Menurut Faizzul, arwah sebenarnya sudah lama berusaha untuk mendapatkan pertukaran tempat kerja agar lebih dekat dengan keluarga.
Malah, setiap kali mereka berbual, topik itu sering menjadi perkara utama yang ditanya.

“Setiap kali jumpa atau telefon, memang itu yang dia tanya, pasal perpindahan.
"Bukan dia tak cuba… permohonan sudah pun dapat sokongan di peringkat negeri, cuma masih belum diluluskan oleh pihak ibu pejabat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Faizzul turut mengingatkan bahawa perjalanan dari Sabah ke Sarawak bukan sekadar merentas negeri, tetapi melibatkan sempadan negara, menjadikan pengorbanan itu jauh lebih besar daripada yang disangka.
“Ada sebab kenapa seseorang mohon pertukaran. Bukan saja-saja… tapi kerana ada orang tersayang yang menunggu di rumah,” ujarnya.
Pemergian Azman nyata meninggalkan kesan mendalam, bukan sahaja kepada keluarga tetapi juga rakan-rakan yang mengenalinya sejak sekian lama.
Dalam luahan paling menyentuh hati, Faizzul menitipkan kata-kata yang cukup meruntun perasaan:
“Ini perjalanan terakhir kau, sahabat… sikit lagi sebenarnya dah nak sampai rumah.”
Difahamkan, ketika kejadian, arwah hanya berbaki kurang sejam sahaja lagi untuk tiba di kediamannya di Sibu selepas menempuh perjalanan panjang hampir 11 jam.
Sumber: Sinar Harian






