Sime Darby Property ada tanah luas bagi tampung lebih banyak permintaan pusat data - RHB IB

Business & Finance
12 Jun 2024 • 9:46 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sime Darby Property ada tanah luas bagi tampung lebih banyak permintaan pusat data - RHB IB

herman

12/06/2024 - 09:46

KUALA LUMPUR 12 Jun - Sime Darby Property Berhad mempunyai bank tanah dan kemampuan kewangan yang kukuh untuk menampung lebih banyak permintaan bagi pusat data pada masa depan, kata RHB Investment Bank.

Jelas firma penyelidikan itu, Sime Darby Property berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang daripada gelombang pelaburan semasa yang didorong oleh kehadiran gergasi teknologi global di rantau Asia Tenggara.

"Syarikat itu pada masa ini mempunyai lima projek taman perindustrian dengan baki jumlah keluasan tanah melebihi 2,000 ekar (809 hektar).

"Kami percaya bahawa kemudahan infrastruktur asas sudah sedia ada di tapak-tapak industri ini kerana projek sudah pun berjalan.

"Sime Darby Property merupakan pemain berpengalaman dalam pembangunan industri dan kini segmen ini menyumbang 30% daripada jumlah jualan hartanahnya," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

image is not available
Tapak fasiliti Google di Elmina Business Park, Sungai Buloh.

RHB Investment Bank dalam pada itu percaya pasaran belum menilai sepenuhnya potensi keuntungan positif pengumuman terkini Google mengenai pelaburan AS$2 bilion (RM9.4 bilion) di Malaysia.

"Pengumuman raksasa teknologi tersebut mengenai belanja modal sebanyak RM1.74 bilion untuk pusat data Google pertama dan rantau GoogleCloud mungkin hanya permulaan.

"Kesan potensi ini terhadap pendapatan mungkin di bawah anggaran," jelasnya yang menaikkan harga sasaran (TP) Sime Darby Property kepada RM2 sesaham daripada RM1.54 dengan kekal saranan Beli.

Ujar firma penyelidikan itu, sasaran harga baru ini mencerminkan nilai tambahan sumbangan daripada fasiliti Google, serta pemulihan lebih cepat kawasan industri Sime Darby Property.

"Pusat data Google di Elmina Business Park (EBP) akan menggerakkan perkhidmatan digital gergasi teknologi itu, seperti Search, Maps, dan Workspace.

"Apabila beroperasi, Malaysia akan menyertai 11 negara di mana Google telah membina dan kini mengendalikan pusat data.

"Perlu diperhatikan bahawa di Asia-Pasifik, negara-negara dan kawasan di mana Google Cloud beroperasi termasuk India, Singapura, Jakarta, Hong Kong, Taiwan, Jepun, Australia, dan Seoul," ujarnya.- DagangNews.com