RHB Research positif terhadap prospek MISC disokong aliran tunai stabil

Business & Finance
29 May 2025 • 12:02 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

RHB Research positif terhadap prospek MISC disokong aliran tunai stabil

image is not available

29/05/2025 - 12:02

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mei - RHB Research positif terhadap prospek MISC Bhd disokong aliran operasi tunai stabil yang meletakkan kumpulan itu dalam kedudukan baik untuk merebut peluang pertumbuhan dalam pasaran pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO).

Firma penyelidikan itu berkata keuntungan teras MISC pada 1QFY25 sebanyak RM667.9 juta adalah sejajar dengan jangkaan mereka dan konsensus, mewakili 29 peratus daripada unjuran setahun penuh.

Katanya, ia didorong sumbangan lebih kukuh daripada segmen luar pesisir susulan permulaan operasi Mero 3.

"Keputusan 1QFY25 secara keseluruhannya sejajar dengan jangkaan kami, memandangkan kami menjangkakan sedikit kelembapan dalam segmen gas dan petroleum pada suku-suku mendatang akibat ketidaktentuan pasaran yang berterusan," katanya dalam satu nota kajian.

Sementara itu, RHB Research berkata, segmen luar pesisir MISC dijangka menunjukkan prestasi lebih kukuh susulan penghantaran minyak pertama daripada Mero 3, yang dijangka akan menjana aliran tunai jangka panjang yang stabil untuk kumpulan.

Firma penyelidikan itu juga berkata, kumpulan itu memberi panduan, kadar pengangkutan gas asli cecair (LNG) dijangka kekal suram disebabkan lebihan bekalan kapal, yang berpunca daripada penghantaran kapal baharu yang tinggi dan kelewatan dalam projek pencairan LNG.

“Unjuran bagi segmen petroleum adalah bercampur-campur dengan kadar pengangkutan VLCC dijangka sedikit mengatasi kapal tangki bersaiz sederhana, disokong pertumbuhan armada yang mendatar dan permintaan berterusan bagi penghantaran minyak mentah jarak jauh dari benua Amerika dan Asia Timur ke Asia.

"Kadar kapal tangki bersaiz sederhana dijangka merosot menurut pandangan MISC, disebabkan peningkatan ketersediaan kapal, yang kini kembali normal selepas paras yang tinggi dilihat pada 2023 dan awal 2024,” katanya.

Secara keseluruhan, RHB Research mengekalkan unjuran pendapatannya dengan jangkaan sedikit penyederhanaan daripada segmen gas dan petroleum berikutan ketidaktentuan pasaran yang berterusan.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM9.70 sesaham.- DagangNews.com

standard