Sime Darby utamakan penyepaduan UMW ke dalam ekosistem, perkukuh daya saing
diyana
22/03/2024 - 15:35
KUALA LUMPUR 22 Mac - Sime Darby Bhd mengutamakan penyepaduan UMW Holdings Bhd ke dalam ekosistem Sime Darby yang lebih luas, terutamanya sektor automotif dan perindustrian, bagi mengukuhkan kelebihan daya saingnya dan meluaskan jejak domestik konglomerat itu untuk terus memacu pertumbuhan jangka panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata langkah itu juga selaras dengan Pelan Induk Strategi 5 Tahun kumpulan untuk memperluas perniagaan utamanya, iaitu perindustrian dan permotoran, merentasi pasaran serantau utama, serta mengukuhkan sumbangan pendapatan daripada Malaysia.

Semalam, Sime Darby mengumumkan bahawa ia telah selesai mengambil alih UMW sepenuhnya pada harga RM5.84 bilion, menjadikannya anak syarikat milik penuh.
Sementara itu, Pengarah Urusan UMW, Mustamir Mohamad berkata penyertaan UMW ke dalam Sime Darby sebagai unit perniagaan utama menandakan lembaran baharu yang menarik untuk UMW, membolehkan ia memanfaatkan peluang baharu dan berkongsi kepakaran.
“Di samping memastikan kesinambungan perniagaan yang lancar ketika penggabungan, kami berharap untuk terus berkembang sebagai sebahagian daripada Sime Darby, kerana kami kekal teguh dalam komitmen kami untuk menyampaikan kecemerlangan kepada semua pemegang kepentingan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
UMW telah dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 19 Februari untuk menandakan selesainya proses penswastaan oleh Sime Darby.
Saham-saham UMW telah pun digantung daripada dagangan oleh Bursa Malaysia pada 9 Februari, selepas tamat tempoh lima hari dagangan dari tarikh tutup lanjutan tawaran pengambilalihan oleh Sime Darby. - DagangNews.com


