Untung bersih Sime Darby merosot 64% pada FY23

Business & Finance
22 Feb 2024 • 5:13 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih Sime Darby merosot 64% pada FY23

diyana

22/02/2024 - 17:13

KUALA LUMPUR 22 Feb - Keuntungan bersih Sime Darby Plantation Berhad (SDP) bagi suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) merosot 64% kepada RM200 juta berbanding RM562 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Sementara itu, pendapatannya pada suku dalam tinjauan susut 7% kepada RM5.28 bilion daripada RM5.67 bilion sebelumnya dengan pendapatan sesaham (EPS) menurun kepada 26.90 sen berbanding 36 sen.

Syarikat perladangan itu mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 6.05 sen sesaham, menjadikan pengagihan dividennya berjumlah 15 sen sesaham bagi FY23.

Secara kumulatif, keuntungan bersih SDP pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) merosot 25% kepada RM1.86 bilion pada daripada RM2.49 bilion dalam tahun sebelumnya.

Penurunan tersebut diheret oleh keuntungan berulang sebelum faedah dan cukai (PBIT) yang lebih rendah dan peningkatan kos kewangan tetapi sebahagiannya diimbangi oleh PBIT tidak berulang yang lebih tinggi, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Menurut SDP, kos kewangan meningkat 47% disebabkan oleh penanda aras kadar pinjaman yang agak tinggi namun sebahagiannya diimbangi pinjaman purata 6% lebih rendah. Purata kadar faedah berada pada 5.4% setahun berbanding 3% setahun dalam tempoh yang sama sebelumnya.

Kumpulan itu berkata stok bermusim yang tinggi di negara destinasi utama mungkin memberi kesan kepada permintaan jangka pendek selain risiko geopolitik dan pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan.

Bagaimanapun, SDP berpendapat bahawa keadaan cuaca yang tidak menentu berkemungkinan meningkatkan kebimbangan bekalan minyak sayuran di seluruh dunia.

“Ini seterusnya dijangka memberikan sokongan yang menggalakkan untuk harga minyak sawit mentah pada tahun 2024,” tambahnya.

Harga minyak sawit mentah pada suku dalam tinjauan telah merosot 8% tahun ke tahun kepada purata RM3,688 satu tan metrik berbanding RM4,005 satu tan metrik.

Sementara itu, pengeluaran buah tandan segar meningkat 15% kepada 2.39 juta tan pada 4QFY23 daripada 2.07 juta tan dalam tempoh sama pada 2022.

Kumpulan itu optimis bahawa pertumbuhan pengeluaran buah tandan segar akan berterusan pada FY24, selepas meningkat 6% kepada 8.71 juta tan pada FY23, memandangkan persekitaran buruh semakin baik dan operasi huluan Malaysia memulih. - DagangNews.com