Simpati kanak-kanak kira duit syiling, teringin nasi ayam, ibu dedah Kamal Adli sedekah RM100. 'Terima kasih berkongsi rezeki'

21 May 2026 • 10:22 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Simpati kanak-kanak kira duit syiling, teringin nasi ayam, ibu dedah Kamal Adli sedekah RM100. 'Terima kasih berkongsi rezeki'

AKTOR Kamal Adli menjadi perhatian warganat selepas senyap-senyap membantu seorang kanak-kanak.

Menerusi sebuah untaian di Threads, seorang wanita yang juga ibu kanak-kanak berkenaan berkongsi tangkap layar Pelakon Takluk: Lahad Datu itu menghulurkan sumbangan menerusi kod QR.

"Terima kasih Kamal Adli kongsi rezeki untuk anak-anak. Semoga murah rezeki," tulisnya.

Menerusi imej berkenaan, Kamal menyerahkan wang berjumlah tiga angka.

"Salam. Bagi dekat anak itu ya," titipnya ringkas sambil berkongsi resit bank.

Terdahulu, pemilik akaun Threads _94hanaya berkongsi video anaknya sedang mengira duit syiling yang disimpan. Kanak-kanak itu memahami kesusahan keluarga apabila hanya meminta nasi ayam, namun permintaannya tidak dapat ditunaikan.

"Abang memang tak pernah nak susahkan mak. Semalam dia minta nasi ayam, tapi mak terpaksa cakap tak ada duit.

"Pagi ni, tanpa minta atau tanya apa-apa lagi, mak tengok dia tengah sibuk kira duit syiling sendiri. Apabila tanya, rupa-rupanya hendak guna untuk beli barang projek sekolah hari ni. Abang, mak betul-betul sedih. Maafkan mak ya nak," titipnya.

Warga maya tersentuh dengan kemurahan hati Kamal dan mendoakan keluarga berkenaan dimurahkan rezeki.