Simposium Penyelidikan MCMC 2025 fokuskan pembangunan ekosistem digital Malaysia

20/08/2025 - 12:29
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 20 Ogos – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan komitmennya untuk memajukan kesalinghubungan digital secara inklusif, lestari dan berpusatkan pengguna sejajar dengan keutamaan nasional di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (13MP).
Ketua Pegawai Sumber Manusia MCMC, Dr Murugappan Subramanian berkata, kesalinghubungan digital bukan sahaja perlu pantas dan meluas, tetapi juga bertanggungjawab terhadap alam sekitar serta responsif terhadap keperluan sebenar pengguna.
“Projek-projek yang diketengahkan di sini disokong di bawah program Geran Penyelidikan Masyarakat Digital (DSRG), yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan siber dan inklusi digital, semuanya bertujuan untuk memperdalam pemahaman mengenai faktor manusia dan sosial yang mempengaruhi penerimaan dan penggunaan digital.
“Ini selaras dengan keutamaan nasional di bawah 13MP, khususnya dalam memperkukuh kepimpinan digital dan inovasi, selaras peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025,” katanya dalam ucapan pembukaan Simposium Penyelidikan MCMC 2025 di Sepang, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Bahagian Akademi MCMC, Malini Ramalingam.
Simposium kali ini berjaya menarik penyertaan 400 peserta dari kerajaan, akademia dan masyarakat sivil, menumpukan kepada landskap digital yang berkembang pesat.
Turut hadir ialah Pengarah Serantau Pejabat Serantau Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) untuk Asia dan Pasifik, Dr Atsuko Okuda.
Bertemakan “Masa Depan Kesalinghubungan: Mengamalkan Pendekatan Lestari dan Berpusatkan Pengguna”, simposium ini menyediakan platform dialog mengenai kepentingan penyelidikan untuk penciptaan ekosistem digital yang lebih inklusif dan berpandangan ke hadapan.
Ia dianjurkan Akademi MCMC dengan sokongan daripada program DSRG yang turut mempamerkan hasil penyelidikan daripada kitaran geran 2024.
Kajian tahun ini menekankan keutamaan nasional utama, termasuk pembangunan lestari, pemerkasaan digital, dan kepentingan meletakkan keperluan pengguna sebagai teras perancangan dasar dan infrastruktur.
Tambahya, simposium itu juga menjadi forum untuk penyelidik, pemain industri dan pembuat dasar bertukar idea serta memperkukuh agenda pembangunan digital Malaysia.
“Penyelidikan yang dibentangkan turut menyokong misi lebih luas MCMC dalam membuat dasar berasaskan bukti dan pembangunan sektor melalui inisiatif seperti Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).
“Simposium ini menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan DSRG, dengan kejayaan menamatkan kitaran pertama 2025, di mana 11 projek telah dianugerahkan.
“Bagi membina momentum ini, kitaran kedua akan dilancarkan pada separuh kedua tahun ini, dengan fokus penyelidikan yang diperluas serta skop yang lebih luas termasuk permintaan daripada industri komunikasi dan multimedia,” katanya.- DagangNews.com
standard




