Sindiket Dadah Antarabangsa Terus Jadikan KLIA Sebagai Lokasi Transit

LocalPolitics
2 Oct 2026 • 12:23 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Sindiket Dadah Antarabangsa Terus Jadikan KLIA Sebagai Lokasi Transit

KUALA LUMPUR - Sindiket dadah antarabangsa terus menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai lokasi transit, dengan 44 kes penyeludupan dadah berjaya dipatahkan daripada 56 cubaan penyeludupan dikesan di lapangan terbang antarabangsa negara tahun ini.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata, baki 12 kes membabitkan penyeludupan hidupan liar, hasil tindakan pasukan Aviation Security (AVSEC) dengan kerjasama agensi penguat kuasa.

Menurutnya, tahap ancaman itu turut dapat dilihat menerusi operasi polis terbaharu di KLIA yang membawa kepada rampasan 418 kilogram (kg) kanabis bernilai RM33.4 juta, dipercayai untuk diseludup ke Eropah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata dadah terbabit dirampas dalam 10 kes berasingan membabitkan 671 paket kanabis, selain membawa kepada penahanan 11 warga asing dan seorang orang tengah tempatan.

MAHB berkata, pihaknya terus memperkukuh keselamatan lapangan terbang menerusi kerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa bagi mengenal pasti dan melaporkan aktiviti mencurigakan atau dilarang.

“Selain melaksanakan tanggungjawab utama melindungi keselamatan lapangan terbang dan penerbangan, AVSEC sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan untuk mengenal pasti dan melaporkan sebarang aktiviti dilarang atau mencurigakan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kerjasama itu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Imigresen, Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN).

MAHB berkata, kerjasama berkenaan merangkumi perkongsian risikan, saringan bersasar dan operasi bersepadu.

Dalam usaha memperkukuh keupayaan pengesanan, MAHB turut memperoleh 10 pengimbas 360 darjah untuk ditempatkan di KLIA dan beberapa lapangan terbang antarabangsa terpilih.

Peralatan itu dijangka meningkatkan ketepatan pengesanan selain melengkapi sistem keselamatan sedia ada.

“MAHB akan terus memperkukuh kerjasama dengan semua agensi berkaitan, termasuk menyokong pelaksanaan saringan bersasar berdasarkan penilaian risiko bagi memastikan kawalan keselamatan lapangan terbang kekal menyeluruh dan berkesan,” katanya. - Getaran, 2 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved