Sindiket judi dalam talian sasar warga China tumpas

LocalPolitics
13 Apr 2026 • 2:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sindiket judi dalam talian sasar warga China tumpas
Shazeli menunjukkan barangan yang dirampas menerusi siri operasi dijalankan.

SHAH ALAM – Sindiket penipuan perjudian dalam talian yang dipercayai menyasarkan warga China tumpas selepas polis menjalankan dua serbuan berasingan di Taman Anjung Residensi, Kajang, Selasa lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kedua-dua operasi itu dijalankan oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada 7 April lalu.

Menurut beliau, serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 9 malam di sebuah rumah di kawasan berkenaan.

“Dalam operasi itu, seramai 11 individu warga asing berjaya ditahan, terdiri daripada lapan lelaki dan tiga wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun.

“Mereka dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan perjudian dalam talian yang aktif sejak Februari lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Isnin.

Beliau berkata, hasil serbuan turut membawa kepada rampasan enam unit monitor, enam unit CPU, enam telefon bimbit serta dua modem.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sekitar RM30,000,” katanya.

Mengulas lanjut, Shazeli berkata, siasatan awal mendapati bahawa sindiket tersebut menyasarkan warga China sebagai mangsa utama.

“Kesemua suspek berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang akan berhubung dengan mangsa melalui aplikasi seperti WeChat, Telegram dan Potato.

“Mereka kemudian akan memujuk mangsa untuk menyertai perjudian dalam talian melalui platform digital dengan menjanjikan keuntungan lumayan,” katanya.

Menurut beliau, mangsa yang terpedaya akan membuat bayaran melalui akaun Alipay yang dikawal oleh ahli sindiket lain.

Tambahnya, siasatan juga mendapati seorang wanita dalam kumpulan tersebut berperanan sebagai tukang masak bagi menyediakan makanan kepada ahli sindiket.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, satu lagi serbuan dijalankan kira-kira jam 9.30 malam di lokasi berdekatan.

“Dalam operasi kedua, tiga lagi individu warga asing ditahan, terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 28 hingga 37 tahun.

“Polis turut merampas tiga telefon bimbit dan satu modem dengan nilai rampasan dianggarkan RM8,000,” katanya.

Shazeli berkata, modus operandi sindiket dalam serbuan kedua adalah sama, iaitu menyasarkan warga China melalui aplikasi komunikasi sebelum memperdaya mereka menyertai perjudian dalam talian.

“Bayaran juga dibuat menggunakan akaun Alipay yang dikawal sindiket,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu serta Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana pakatan jenayah.

“Kesemua suspek kini direman bagi siasatan lanjut,” katanya.