Sindiket pemalsuan pasport ditumpaskan, RM200,000 dirampas

13 Aug 2026 • 6:23 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Sindiket pemalsuan pasport ditumpaskan, RM200,000 dirampas

Jabatan Imigresen tumpaskan sindiket pemalsuan pasport untuk saringan FOMEMA, tahan dua warga Bangladesh, rampas 2,110 naskhah pasport dan RM200,000.

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen menerusi operasi khas di ibu negara semalam, yang membawa kepada penahanan dua lelaki Bangladesh masing-masing dipercayai dalang utama dan ahli sindiket berkenaan.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi itu susulan daripada tangkapan tiga lelaki Indonesia pada 5 Ogos lepas berkaitan kegiatan pemalsuan dan pengubahsuaian pasport.

“Semakan mendapati dalang utama yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS Sektor Pembinaan) manakala ahli sindiket itu didapati telah tinggal lebih masa.

“Menerusi operasi itu, sebanyak 2,110 naskhah pasport yang belum lagi dijadikan pasport (belum lengkap dicetak), tiga telefon bimbit, cop keselamatan masuk palsu dan mesin pencetak antara yang dirampas.

Turut dikenal pasti adalah simpanan wang RM200,000 dalam aplikasi e-dompet dipercayai hasil kegiatan ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata modus operandi yang digunakan sindiket adalah dengan menawarkan perkhidmatan kepada warganegara asing yang berada di sekitar Lembah Klang dan ingin menjalani saringan pemeriksaan kesihatan pekerja asing (FOMEMA), namun didapati tidak melepasi pemeriksaan atau berstatus tidak layak.

“Pasport yang dipalsukan akan dipinda atau diubah suai bagi membolehkan ia digunakan oleh orang lain semasa proses saringan kesihatan.

Kami percaya kemungkinan masih ada sindiket yang melakukan perkara sama dan aktiviti risikan akan diteruskan,” katanya.

Menurut Zakaria, sindiket itu juga dipercayai memalsukan pasport atau memberikan perakuan palsu dalam pasport bagi menunjukkan ia mempunyai rekod pergerakan keluar serta masuk yang sah, bertujuan mengaburi agensi penguat kuasa sekiranya ditahan di lapangan.

Bayaran yang dikenakan adalah RM200 hingga RM300 bagi setiap naskhah pasport dan sindiket dipercayai menyewa sebuah kondominium dengan bayaran RM1,600 untuk kegiatan haram itu.

Dalang utama sindiket itu ditahan di bawah Seksyen 55D dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 manakala ahli sindiket ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved