Sindiket pengedaran tumpas, dadah RM8.49 juta dirampas

12 Aug 2026 • 7:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sindiket pengedaran tumpas, dadah RM8.49 juta dirampas

JOHOR BAHRU: Helah sindiket pengedaran menjadikan pangsapuri berpagar dan berpenga­wal di Persiaran Senibong, Ma­sai, di sini sebagai stor penyimpanan dadah terbongkar selepas polis merampas dadah bernilai RM8.49 juta di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, dalam operasi pukul 10.30 pagi itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor turut menahan dua lelaki tempatan berusia 30 dan 34 tahun.

Menurutnya, serbuan terhadap sebuah pangsapuri di Seri Alam, Masai, di sini membawa kepada penahanan suspek pertama bersama rampasan pelbagai jenis dadah seberat 96.76 kilogram (kg).

“Antara dadah yang dirampas merangkumi 132,600 biji pil Erimin 5, 53,000 biji pil ekstasi, 290 peket serbuk ekstasi, 13 peket ketamin dan dua peket serbuk methylenedoxymetham­phetamine (MDMA).

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 392,098 penagih sekiranya terlepas ke pasaran tempatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, semalam.

Mengulas lanjut, Ab. Rahaman berkata, serbuan susulan terhadap sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Ehsan Jaya, Desa Cemerlang membawa kepada penahanan suspek kedua yang dipercayai rakan kepada suspek pertama.

“Siasatan mendapati suspek berusia 34 tahun itu bertindak sebagai pembantu kepada dalang sindiket bagi membayar gaji penjaga stor berkenaan. Ujian urin mendapati kedua-dua suspek negatif dadah, namun semakan mendapati mereka ada kesalahan jenayah lampau.

“Selain rampasan dadah, tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 turut diambil dengan menyita pelbagai aset bernilai RM945,000 antaranya empat buah kereta iaitu BMW M4, To­yota Vellfire, Honda City Hatchback dan Proton Saga,” katanya. –UTUSAN

The post Sindiket pengedaran tumpas, dadah RM8.49 juta dirampas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved