Sindiket proses dadah RM27.5 juta tumpas, suspek utama ditembak mati

7 Sep 2026 • 6:43 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Sindiket proses dadah RM27.5 juta tumpas, suspek utama ditembak mati

Polis menumpaskan sindiket memproses dadah bernilai RM27.5 juta dan menembak mati suspek utama dalam Operasi Thrips di Seremban.

SEREMBAN: Polis menumpaskan sindiket memproses dadah dipercayai Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai RM27.5 juta menerusi Operasi Thrips di daerah ini dan Kuala Lumpur, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata dalam operasi kira-kira 1.30 tengah hari itu, suspek utama seorang lelaki berusia 52 tahun ditembak mati di sebuah rumah teres di sini selepas bertindak agresif dengan melepaskan tembakan ke arah polis.

Beliau berkata siasatan awal mendapati rumah teres itu disewa sejak awal tahun ini untuk dijadikan makmal memproses dadah dan modus operandi sindiket ialah memilih kawasan perumahan berkepadatan rendah untuk mengaburi kegiatan mereka.

Hussein berkata hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis itu, polis merampas dadah disyaki MDMA iaitu jenis cecair dianggarkan seberat 64.49 kilogram (kg), ketulan dadah (5.2kg), pil dadah (7.9kg), serbuk dadah (104.8kg) dan pelbagai peralatan memproses dadah.

“Kita percaya suspek memperoleh dadah ini dengan bantuan ahli sindiket lain yang membawa masuk prekursor pemprosesan dadah dari luar negara.

“Suspek ditembak mati ini juga mempunyai kepakaran dalam memproses bahan kimia untuk dijadikan dadah jenis MDMA ataupun ekstasi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini, hari ini.

Beliau berkata polis percaya suspek berpengalaman dalam aktiviti berkaitan dadah sejak 1990-an kerana mempunyai tiga rekod tangkapan dan hukuman penjara di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Hussein berkata suspek juga dikehendaki di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961, selain mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

“Dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan dan luar negara. Polis sedang giat memburu beberapa lagi suspek yang disyaki melarikan diri ke luar negara,” katanya.

Sementara itu, Hussein berkata serbuan berasingan turut dilakukan di Seremban 2 dan sebuah rumah di Kuchai Lama, Kuala Lumpur, membawa kepada penahanan dua lagi ahli sindiket iaitu seorang wanita berusia 32 tahun serta seorang lelaki berusia 35 tahun.

Beliau berkata saringan air kencing terhadap kedua-dua individu itu mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan THC selain mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk dadah.

Hussein berkata kedua-dua suspek itu direman tujuh hari sehingga 13 Sept ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata polis turut menyita tiga kereta dan menyifatkan rampasan dadah itu dapat mengekang pengedaran dadah kepada lebih 400,000 penagih.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved