Sindiket tawar kerja sambilan, e-dagang digempur, 403 individu ditahan

LocalPolitics
5 May 2026 • 2:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sindiket tawar kerja sambilan, e-dagang digempur, 403 individu ditahan
Rusdi (kanan) dalam sidang akhbar pada Selasa. Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR

KUALA LUMPUR - Sindiket penipuan tawaran kerja sambilan dan e-dagang digempur menerusi operasi khas yang digerakkan di seluruh negara baru-baru ini.

Op Belatuk itu dijalankan Bahagian Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bermula 13 hingga 19 April lalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya berjaya menahan 403 individu untuk tindakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 424 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 358 individu dikenal pasti sebagai pemilik akaun bank yang digunakan untuk aktiviti penipuan e-dagang, manakala 45 lagi individu membabitkan 11 sindiket kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan.

"Statistik jelas menunjukkan trend jenayah ini semakin serius.

"Sepanjang tempoh Januari hingga Disember tahun lalu, kes penipuan dalam talian melibatkan tawaran kerja sambilan meningkat 173 peratus, dengan jumlah kerugian mencecah RM219.6 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

"Dalam tempoh itu, 8,846 kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.

Beliau berkata, kejayaan ini mencerminkan keberkesanan tindakan risikan serta operasi bersepadu yang dilaksanakan.

Jelasnya, operasi ini digerakkan secara bersepadu di seluruh negara sebagai respons tegas terhadap peningkatan ketara jenayah penipuan dalam talian.

"Operasi ini dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada tindakan penguatkuasaan agresif merangkumi serbuan, tangkapan serta rampasan ke atas ahli sindiket terlibat.

"Sasaran utama ialah mereka yang berperanan sebagai pemilik akaun bank, pencari dan pembekal kad ATM serta pengeluar wang," ujarnya.

Tegasnya, tindakan ini bukan sahaja menyasarkan pelaku utama, malah memberi penekanan kepada pemutusan rantaian kewangan sindiket.

Dalam perkembangan lain, Rusdi memaklumkan JSJK turut melaksanakan Op Frontier melibatkan aktiviti penipuan dalam talian dan keldai akaun bank dengan jumlah tangkapan seramai 1,372 orang bagi tempoh 1 April hingga 3 Mei lalu.