KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggempur sindiket pusat panggilan membabitkan 430 tangkapan di seluruh negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, Op Taring (Op Khas 3/26) itu dijalankan oleh Bahagian Risikan/Operasi JSJK Bukit Aman dengan memfokuskan kegiatan penipuan berasaskan 'call centre' (pusat panggilan) bermula 26 Januari hingga 5 Februari.
Menurutnya, kesemua tangkapan berusia antara 17 hingga 66 tahun.
“Tangkapan tertinggi bagi operasi ini membabitkan warga asing seramai 270 orang, manakala selebihnya ialah warga tempatan yang disyaki berperanan sebagai operator, pembekal skrip dan penyedia infrastruktur komunikasi.
“Menerusi operasi ini juga, polis merampas pelbagai peralatan komunikasi bernilai kira-kira RM307,860 dan sebanyak 18 daripada 74 kertas siasatan yang dibuka telah dituduh di mahkamah,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.
Beliau berkata, operasi turut berjaya menumpaskan beberapa sindiket yang aktif menjalankan penipuan melalui panggilan telefon dengan menyasarkan mangsa daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Jelasnya, sindiket menggunakan pelbagai taktik penipuan termasuk penyamaran pegawai penguat kuasa, institusi kewangan serta tawaran palsu bagi memperdaya mangsa.
"Suspek menggunakan skrip perbualan terancang, sistem panggilan berpusat serta teknologi komunikasi moden bagi meningkatkan keberkesanan penipuan.
"Daripada sudut lokasi serbuan, operasi dijalankan di beberapa negeri utama termasuk premis kediaman, pejabat komersial dan unit bangunan yang dijadikan pusat operasi secara terselindung," ujarnya.
Kes disiasat antaranya mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 511 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.






