
KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menumpaskan tiga sindiket pengedaran vape mengandungi dadah sintetik menerusi beberapa operasi khas di sekitar Lembah Klang dan Selangor dengan rampasan bernilai lebih RM45.6 juta.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sebanyak 14 individu termasuk warga tempatan dan warga asing diberkas dalam Op Kesing, Op Madarini dan Op Eristalis yang dijalankan antara 23 hingga 25 Julai lalu.
Menurutnya, kejayaan itu diperoleh susulan risikan yang dipertingkatkan selepas insiden tujuh pelajar sekolah menengah di Sentul ditemui khayal akibat dipercayai menghisap vape mengandungi cecair dadah pada 22 Julai lalu.
“Situasi itu semakin membimbangkan susulan kejadian membabitkan tujuh pelajar di Sentul, yang didapati khayal selepas menggunakan vape mengandungi cecair dadah sehingga menyebabkan dua daripada mereka dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
“Fenomena ini amat serius dan memerlukan tindakan tegas bagi mengekang penularan vape mengandungi dadah dalam kalangan masyarakat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras hari ini.
Beliau berkata, sindiket berkenaan menggunakan pelbagai taktik bagi mengaburi pihak berkuasa termasuk mengimport dadah dan peralatan vape dari luar negara sebelum membuat pengisytiharan palsu bahawa barangan itu adalah aksesori serta jus buah.
Dalam Op Kesing pada 23 Julai lalu, katanya, polis menahan sembilan suspek terdiri daripada tiga lelaki tempatan, lima wanita warga asing dan seorang lelaki warga asing yang dipercayai dalang sindiket.
“Serbuan di Kajang, Gombak dan Sentul turut membawa kepada rampasan 742.74 kilogram (kg) cecair methamphetamine, 1.54 kg serbuk methamphetamine, 27.52 kg cecair MDMA, 3.38 kg serbuk MDMA, 4.16 kg ketamin, 1.54 kg pil Erimin 5, 318 gram pil ekstasi, 21 gram pil Yaba, 151 gram ganja serta 962 kartrij vape mengandungi cecair MDMA,” katanya.
Hussein berkata, dalam Op Madarini pada hari sama, polis menahan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing yang dipercayai menggunakan rumah di sekitar Lembah Klang sebagai stor penyimpanan serta lokasi pembungkusan vape dadah sebelum dihantar ke pasaran luar negara.
“Polis turut merampas 1,340 kartrij vape mengandungi cecair MDMA dengan nilai dianggarkan RM402,000,” katanya.
Menurut beliau, seorang daripada suspek didapati positif dadah jenis, amphetamine manakala dua suspek tempatan mempunyai 10 rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
Tambahnya, menerusi Op Eristalis pada 25 Julai hasil kerjasama JSJN Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sabak Bernam, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga asing yang dipercayai cuba menyeludup bekalan dadah ke negara jiran menggunakan laluan laut.
Katanya, sindiket itu menjadikan sebuah kilang memproses ikan sebagai lokasi penyimpanan sebelum bekalan dihantar menggunakan bot.
“Dalam operasi itu, polis merampas 4.16 kg ketamin, 7.12 kg pil ekstasi, 3.04 kg pil Erimin 5, 837 gram methamphetamine serta 3,750 kartrij vape mengandungi cecair MDMA dengan nilai keseluruhan kira-kira RM2.7 juta,” katanya.
Beliau berkata, JSJN turut menyita enam buah kenderaan, barang kemas, wang tunai dan mata wang asing mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988. – KOSMO! ONLINE
The post Sindiket vape dadah tumpas, rampasan lebih RM45.6 juta appeared first on Kosmo Digital.






