
MENTERI Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan sinergi erat antara kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah penting bagi memastikan kelancaran serta kejayaan pelaksanaan projek infrastruktur terutamanya penghuraian trafik di daerah ini.
Katanya, penglibatan secara bersepadu pelbagai agensi dapat memastikan setiap perancangan berjalan mengikut garis masa yang ditetapkan demi kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, projek sepanjang kira-kira 1.5 kilometer itu dijadualkan siap dalam tempoh 24 bulan dengan kos RM70 juta yang daripada jumlah itu, sebanyak RM48 juta diperuntukkan bagi kerja pembinaan, RM17 juta untuk pengambilan tanah serta pampasan kepada pemilik premis yang terjejas, manakala RM9.6 juta lagi bagi kerja pengalihan utiliti.
“Ramai melihat jaraknya hanya 1.5 kilometer, tetapi kos keseluruhannya merangkumi pembinaan, pengambilan tanah dan pengalihan utiliti.
Pampasan juga diberikan sewajarnya kepada pihak yang terjejas, manakala, pelaksanaan projek ini melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan tunggal dua lorong kepada jalan berkembar empat, dengan lorong dua hala.
“Skop kerja turut merangkumi pembinaan satu buah jejantas pejalan kaki, pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat serta menaik taraf tiga buah persimpangan sedia ada daripada persimpangan bulatan kepada persimpangan berlampu isyarat, termasuk pembinaan tiga buah hentian bas, dua buah perlindungan motosikal, laluan berbumbung ke sekolah dan sistem perparitan.
“Projek ini akan dipantau secara rapi oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dengan sokongan Kementerian Kerja Raya (KKR) memandangkan ia dibiayai Kerajaan Persekutuan,” katanya di ketika ditemui di Majlis Pecah Tanah projek itu yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, di sini, Selasa.
Hadir sama Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, Adun Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar; Adun Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra dan Pengarah Urusan Kumpulan WSG, Datuk Susan Wong serta barisan tetamu kehormat lainnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Alexander berkata, pelaksanaan komponen kedua melibatkan projek Jalan Bypass Kampung Pengalat-Pekan Papar sejauh 13 kilometer, kini dalam proses reka bentuk dan value engineering yang akan dimuktamadkan sebelum tender dijangka dibuka pada hujung tahun ini.
Pada masa sama, katanya, pihaknya turut berharap Surat Setuju Terima (SST) untuk projek bernilai RM538 juta disalurkan kerajaan Persekutuan itu akan diserahkan pada awal Januari 2027.
“Kerja-kerja reka bentuk dan value engineering telah dibuat oleh JKR Malaysia, termasuk value assessment oleh Kementerian Ekonomi, seterusnya kita harap tender dibuat pada hujung tahun ini manakala, penyerahan SST pada awal tahun depan selepas semua proses perolehan selesai mengikut jadual,” katanya.
Sementara itu, Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Sara Hidup (KPDN) menyambut baik usaha semua pihak yang terlibat hingga projek naiktaraf laluan dari Bulatan Sabindo ke SMK Kinarut dapat direalisasikan bagi mengurang masalah trafik yang semakin kritikal di laluan itu hingga mencecah 27,000 kenderaan sehari.
Katanya, perjalanan yang sepatutnya mengambil masa kira-kira 45 minit boleh mencecah hampir tiga jam ketika waktu puncak kerana laluan itu merupakan penghubung utama masyarakat dan pengguna jalan raya yang ditambah lagi dengan pembangunan semakin banyak di kawasan tersebut.
“Pada peringkat awal, pertimbangan hanya diberikan kepada jajaran baharu kerana kosnya lebih rendah, namun saya merayu supaya komponen laluan sedia ada ini turut dilaksanakan memandangkan ia menjadi titik kesesakan utama di Papar. Alhamdulillah, kerajaan meluluskan projek ini yang hari ini, kerja pelaksanaannya dimulakan,” katanya.
Beliau turut menyambut baik pelaksanaan projek Bypass Pengalat-Pekan Papar yang merangkumi pembinaan sebuah jambatan baharu merentasi Kampung Sungai Padang ke Pekan Papar di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan.
Pada masa sama, katanya, Kerajaan Negeri juga meluluskan pembinaan sebuah lagi jambatan baharu menghubungkan Kampung Buang Sayang ke Pekan Papar bersebelahan jambatan sedia ada.
“Dengan siapnya kedua-dua projek itu, Papar akan mempunyai tiga jambatan iaitu jambatan sedia ada serta dua jambatan baharu daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di daerah ini,” katanya.





