
KUALA LUMPUR: Usahawan yang tamat daripada program pembiayaan sosial Islam masih berdepan jurang pembiayaan apabila beralih kepada pembiayaan komersial, sekali gus menunjukkan keperluan kepada model baharu berasaskan perkongsian risiko dalam ekosistem kewangan Islam negara.
Sehubungan itu, Bank Negara Malaysia (BNM) bersedia meneroka pendekatan bagi memperluas penggunaan instrumen perkongsian risiko untuk membantu perniagaan beralih daripada sokongan berasaskan komuniti kepada perusahaan komersial yang lebih mampan.
Timbalan Gabenor BNM, Datuk Adnan Zaylani Mohamed Zahid berkata, kewangan Islam tidak seharusnya hanya tertumpu kepada penyediaan perkhidmatan kewangan, sebaliknya perlu menghasilkan impak sosioekonomi yang lebih luas.
Ujarnya, peranan kewangan Islam termasuk membantu golongan rentan, memperkukuh daya tahan kewangan serta menyokong perniagaan dalam mengamalkan amalan mampan.
“Inisiatif pengantaraan berasaskan nilai (VBI) diperkenalkan bagi menggalakkan institusi kewangan Islam dan pengendali takaful memberi tumpuan kepada hasil yang selari dengan objektif Syariah atau Maqasid Syariah.
“Kewangan Islam mahu melakukan lebih banyak perkara, dan kita mahu ia terus berkembang dalam memberikan impak kepada masyarakat,” katanya katanya ketika menjadi ahli panel pada Forum Kewangan Islam bertajuk ‘Daripada Dasar kepada Rakyat: Memperkukuh Impak Kewangan Islam’ di Simposium Sasana 2026, anjuran BNM di sini hari ini.
Antara panel yang terlibat ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz, Pengarah Urusan dan Pemegang Amanah Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki dan Pengarah Jabatan Kewangan Islam BNM, Nurul Izza Idris sebagai moderator.
Dalam pada itu, Adnan berkata, BNM terbuka menerima cadangan daripada pemain industri berkaitan pembangunan kontrak dan instrumen pembiayaan Islam supaya lebih mampu memenuhi keperluan perniagaan serta komuniti.
Katanya ini termasuk meneroka bagaimana peraturan dapat menyokong penggunaan struktur pembiayaan Islam alternatif seperti kontrak perkongsian risiko.
“Kita terbuka kepada cadangan dan idea bagaimana untuk menambah baik penyampaian kewangan Islam serta kewangan secara keseluruhan.
“Pendekatan ini memerlukan kerjasama antara pengawal selia, institusi kewangan dan pemain industri bagi menghasilkan produk yang benar-benar memenuhi pelbagai keperluan,” katanya.
Beliau berkata, program iTEKAD turut berkembang dengan ketara sejak diperkenalkan pada 2020, daripada hanya 40 penerima kepada lebih 14,000 penerima ketika ini.
Katanya, program berkenaan kini bukan sahaja meliputi pembangunan keusahawanan, malah turut merangkumi aspek perlindungan dan peluang pekerjaan. – UTUSAN
The post BNM teroka model baharu perkukuh pembiayaan Islam appeared first on Utusan Malaysia.





