Singapura, Indonesia dan Filipina gesa India sambung semula eksport beras

21 Aug 2023 • 5:59 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

MOSCOW: Singapura, Indonesia dan Filipina menyeru India menyambung semula eksport beras berikutan keputusan New Delhi untuk menangguhkan penghantaran beras putih bukan basmati ke luar negara, Sputnik memetik laporan media India .

Singapura telah meminta bekalan kira-kira 110,000 tan beras dari India, dengan Indonesia berhasrat mengimport satu juta tan beras untuk mengurangkan gangguan dalam pasaran makanan yang disebabkan oleh cuaca buruk, akhbar Mint melaporkan pada Ahad, sambil menambah bahawa Filipina juga sangat bergantung kepada bekalan beras dari India.

Negara dan entiti lain, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Bangladesh, telah meningkatkan permintaan beras dari India, menurut laporan itu.

Program Makanan Sedunia PBB baru-baru ini meminta pembekal India membekalkan 200,000 tan beras untuk bantuan kemanusiaan bagi meningkatkan keselamatan makanan global yang terjejas dengan ketara akibat pandemik COVID-19 dan konflik Ukraine, akhbar itu melaporkan.

Pada 20 Julai, kerajaan India mengumumkan bahawa pihaknya menggantung eksport beras putih bukan basmati untuk meningkatkan bekalan domestik dan menyemak harga pasaran.

Langkah itu menyebabkan gangguan besar kepada pasaran makanan global kerana India menyumbang 40 peratus daripada eksport beras global. -Bernama