
PETALING JAYA: Kerjasama strategik antara Media Mulia Sdn. Bhd. (Media Mulia) dan Jabatan Penerangan (JaPen) terus diperkukuh bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini khususnya dalam menyebarkan mesej kenegaraan, perpaduan dan semangat patriotisme kepada masyarakat.
Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) JaPen, Rubaayah Osman berkata, kerjasama dengan organisasi media penting bagi memastikan mesej berkaitan semangat cintakan negara dapat disampaikan kepada khalayak lebih luas, termasuk golongan generasi muda.
Beliau berkata, pemilihan Media Mulia sebagai satu daripada lapan organisasi media yang terlibat dalam program Singgah Media Merdeka 2026 dibuat berdasarkan kekuatan platform media berkenaan dalam mendekati masyarakat.
“Untuk kali ini kita datang ke sini kerana kita yakin Media Mulia mempunyai pengikut yang ramai dan dapat membantu JaPen dalam menyebarkan maklumat berkaitan kenegaraan, perpaduan dan semangat patriotisme.
“Kita bukan mahu semangat ini hanya untuk tujuan sambutan sahaja, tetapi mahu rakyat menanamkan semangat cintakan negara sepanjang masa,” katanya ditemui selepas program Singgah Media Merdeka di pejabat Media Mulia hari ini.
Turut hadir, Pengarah dan Ketua Pegawai Kewangan Media Mulia, Wahid Idris; Pengarah dan Pengurus Besar Informasi dan Digital, Siti Rohaya Syed Hassan; Ketua Pegawai Komersial, Shereen Wong; Ketua Pengarang, Aznan Bakar; Editor KOSMO! dan KOSMO! Ahad, Ismail Daud serta Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Mohd. Haizul Hod.
Rubaayah berkata, penggunaan platform media sosial yang mempunyai pengikut dalam kalangan generasi muda juga mampu menjadi medium berkesan untuk menarik minat mereka menyertai aktiviti berkaitan perpaduan dan patriotisme.
Menurutnya, program Singgah Media Merdeka tahun ini merupakan projek perintis dengan Media Mulia menjadi lokasi ketujuh sebelum satu lagi kunjungan dilaksanakan.
“Untuk tahun ini kita mulakan dengan lapan platform media dan kita nampak sambutannya sangat baik. Kerjasama yang diberikan rakan-rakan media juga sangat menggalakkan, jadi untuk tahun akan datang kita akan lebih luaskan lagi program ini,” katanya.
Sementara itu, Wahid berkata, pihaknya akan menggunakan sepenuhnya platform di bawah Media Mulia media sosial, TikTok, YouTube dan media cetak bagi memastikan mesej serta aktiviti kempen JaPen dapat disampaikan kepada khalayak sasaran.
Katanya, kandungan berkaitan sambutan kemerdekaan akan diterbitkan secara berterusan, bukan sahaja menjelang Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, malah diteruskan sehingga sambutan Hari Malaysia pada September.
“Dari hari ini sehingga 31 Ogos, kita akan memastikan setiap aktiviti JaPen yang telah disusun akan kita keluarkan. Ia tidak akan berhenti di situ kerana kita akan terus mempromosikan semua aktiviti sehingga Hari Malaysia nanti.
“Media Mulia juga akan menghasilkan kandungan sendiri selain menerima bahan daripada JaPen bagi memastikan kempen berkenaan dapat menarik perhatian khalayak, khususnya generasi muda,” katanya. – UTUSAN
The post Singgah Media Merdeka platform sebar mesej patriotik appeared first on Utusan Malaysia.






