
MELAKA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu institusi strategik rakyat seperti Lembaga Tabung Haji (TH), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) terus dilindungi, dipulihkan dan diperkukuh berasaskan integriti, ketelusan serta kecekapan.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, institusi yang diwujudkan bagi menjaga kepentingan rakyat tidak seharusnya sekali lagi menjadi medan berlakunya ketirisan, salah urus atau penyalahgunaan.
Katanya, usaha memperkukuh institusi berkenaan perlu berjalan seiring dengan tindakan membanteras rasuah, ketirisan dan pembaziran tanpa sebarang kompromi.
“Setiap ringgit yang diselamatkan daripada rasuah, ketirisan dan pembaziran ialah ringgit yang boleh dikembalikan kepada rakyat melalui pendidikan, kesihatan, pengangkutan, perumahan dan perlindungan sosial,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, PKR turut mahu agenda gaji bermaruah terus diperjuangkan bagi memastikan pekerja menikmati pendapatan yang sepadan dengan kos sara hidup dan keperluan hidup.
Katanya, kadar gaji minimum perlu dinilai secara berkala dengan mengambil kira produktiviti, kos sara hidup, keadaan perusahaan serta keperluan pekerja.
“Dasar gaji progresif dan pembangunan kemahiran hendaklah diperkasa agar kenaikan gaji berlaku secara mampan dan tidak berhenti pada kadar minimum semata-mata,” katanya.-UTUSAN
The post Institusi strategik rakyat perlu diperkukuh, rasuah dibanteras tanpa kompromi – Fahmi appeared first on Utusan Malaysia.






