Siri Cip Grafik AMD RDNA 4 Akan Diperkenalkan Pada Awal 2025 Kelak

TechnologyDigital
30 Oct 2024 • 12:01 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Banyak yang telah diperkatakan mengenai pelancaran kad grafik NVIDIA, khususnya berkenaan kad grafik GeForce RTX 5000 yang akan diperkenalkan sewaktu acara CES 2025 pada awal Januari kelak. Akan tetapi, berkenaan penawaran terbaru daripada AMD pula, sehingga kini tidak banyak butiran yang diketahui setakat ini.

Dr. Lisa Su, CEO AMD baru-baru ini dilaporkan telah mengesahkan bahawa siri cip grafik terbaru oleh AMD, RDNA 4 akan diperkenalkan pada awal tahun hadapan, apabila menjawab pertanyaan berkenaan penurunan jualan komponen kad grafik mereka dari tahun-ke-tahun oleh para pelabur.

image is not available

Beliau mengatakan bahawa kad grafik yang dikuasakan oleh cip RDNA 4 akan memperlihatkan peningkatan prestasi dari segi kemampuan Ray-tracing yang memberikan olahan grafik yang lebih cantik, dan juga kemampuan memproses inferens kecerdasan buatan yang lebih baik.

Dr. Lisa Su juga mengesahkan bahawa siri kad grafik menggunakan cip pemprosesan RDNA 4 akan diperkenalkan pada awal tahun hadapan, tetapi tidak memberikan butiran lanjut mengenainya, samada ia adalah dalam siri AMD Radeon biasa ataupun Radeon Pro yang secara lazimnya lebih dimanfaatkan oleh para pengguna profesional.

Dalam pada itu, buat masa ini ia juga tidak diketahui apakah pelan AMD berkenaan kad grafik untuk kelas komputer riba gaming, khususnya apabila buat masa ini, NVIDIA masih lagi menguasai pasaran tersebut, dan dengan beberapa butiran mengenai penawaran komputer riba mereka sendiri sudahpun mula diperlihatkan di arena web.