Siri Huawei Watch GT 7 tiba, tawar bateri 21 hari, ciri ECG serta kajian risiko diabetes

LocalTechnology
29 Sep 2026 • 8:49 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

Siri Huawei Watch GT 7 tiba, tawar bateri 21 hari, ciri ECG serta kajian risiko diabetes

Huawei Malaysia hari ini mengumumkan ketibaan jam pintar baharu, siri Huawei Watch GT 7. Seperti biasa, siri ini merangkumi dua model, Watch GT 7 dan Watch GT 7 Pro, ddengan beberapa peningkatan dari segi ciri kesihatan, penjejakan sukan dan hayat bateri.

Antara ciri baharu yang diperkenalkan termasuk mod sukan salji dan berbasikal yang dipertingkatkan, fungsi Physical Readiness untuk menilai tahap kesediaan badan, serta kajian risiko diabetes yang turut ditawarkan pada Huawei Watch Fit 5.

Kedua-dua model turut hadir dengan skrin AMOLED yang mempunyai kecerahan puncak sehingga 3,000 nits, sokongan panggilan Bluetooth dan ketahanan air 5 ATM serta IP69.

Harga dan ketersediaan

Huawei Watch GT 7 ditawarkan dalam dua pilihan saiz, iaitu 41mm dan 46mm, manakala Watch GT 7 Pro hanya tersedia dalam saiz 46mm. Berikut adalah harga jualan untuk pasaran Malaysia:

  • Huawei Watch GT 7 (41mm) – RM1,199
  • Huawei Watch GT 7 (46mm) – RM1,199
  • Huawei Watch GT 7 Pro (46mm) – RM1,499

Untuk pembelian sehingga 31 Oktober 2026, terdapat juga rebat RM100 menjadikan Watch GT 7 boleh dibeli pada harga RM1,099 dan RM1,399 untuk Watch GT 7 Pro.

Setiap pembelian turut disertakan waranti APAC selama 1 tahun, perlindungan Worry-Free Care Package selama 1 tahun bernilai RM229, 3 bulah Huawei Health, serta hadiah percuma berupa tali EasyFit 3 22mm berwarna oren bernilai RM149 dan fon putik FreeBuds SE 2 bernilai RM199.

Anda boleh beli menerusi laman web Huawei Malaysia, Lazada, Shopee dan TikTok.

Spesifikasi Huawei Watch GT 7

Huawei Watch GT 7 kekal ditawarkan dalam dua saiz, iaitu 41mm dengan rekaan elegan dan 46mm menyerupai model Pro. Kedua-duanya menggunakan skrin AMOLED berwarna yang mempunyai resolusi 466 × 466 piksel dan kecerahan puncak sehingga 3,000 nits. Model 46mm mempunyai skrin 1.47″ berkepadatan piksel 317, manakala model 41mm menggunakan skrin 1.32″ berkepadatan piksel 352.

Kedua-duanya menggunakan kerangka keluli tahan karat, dipadankan bersama pilihan tali EasyCross fluoroelastomer atau komposit kulit, bergantung pada varian. Model 41mm ditawar dalam warna merah jambu, putih dan kelabu, manakala model 46mm tersedia dalam warna kuning, biru, dan hitam.

Untuk aktiviti sukan, kedua-dua model menyokong penjejakan lebih 110 mod sukan, termasuk mod sukan salji indoor dan outdoor. Jam ini boleh merekodkan metrik seperti pusingan ski, kekerapan pusingan dan G-force ketika aktiviti ski. Ia juga menawarkan penjejakan GPS yang 20% lebih tepat berbanding generasi terdahulu untuk aktiviti ski salji, selain penjejakan laluan yang lebih tepat ketika berlari di luar.

Bukan itu sahaja, ciri berbasikal turut dipertingkat dengan fungsi perancangan pendakian, amaran perubahan ketinggian, amaran pusingan tajam, serta analitik prestasi ketika mendaki.

Watch GT 7 turut menyokong penjejakan kesihatan melalui skor Physical Readiness, yang menganalisis data tidur, kadar denyutan jantung, HRV, aktiviti dan tahap stres selepas jam dipakai secara berterusan selama tiga hari dan malam. Selain itu, terdapat fungsi Pulse Wave Arrhythmia Analysis yang menggunakan sensor PPG untuk memberikan amaran tentang kemungkinan risiko fibrilasi atrium (A-fib) dan degupan jantung pramatang.

Satu lagi ciri yang ditawarkan ialah kajian risiko diabetes, yang menggunakan pemantauan tanda vital selama 3 hingga 14 hari untuk memberikan gambaran tentang risiko pengguna.

Dari segi bateri, Watch GT 7 46mm menawarkan hayat penggunaan sehingga 21 hari dalam penggunaan ringan, 12 hari dalam penggunaan biasa atau 7 hari dengan Always-On Display (AOD) diaktifkan. Sementara itu, model 41mm mempunyai hayat bateri lebih singkat sehingga 14 hari dalam penggunaan ringan, 7 hari dalam penggunaan biasa atau 5 hari dengan AOD diaktifkan.

Dari segi ketahanan, Watch GT 7 mempunyai penarafan 5 ATM dan IP69 serta boleh digunakan untuk aktiviti air seperti berenang. Ia turut menyokong panggilan Bluetooth, rakaman suara dan pemantauan cuaca.

Ciri tambahan pada Huawei Watch GT 7 Pro

Huawei Watch GT 7 Pro hadir sebagai model lebih premium dalam siri ini, dengan beberapa ciri tambahan yang memfokuskan kepada pemantauan kesihatan, aktiviti sukan dan penggunaan lasak. Ia juga tampil dengan binaan lebih premium, menggunakan kerangka aloi titanium dengan bezel seramik nano-tech. Ia hadir dengan skrin AMOLED 1.47″ beresolusi 466 × 466 piksel, kecerahan puncak 3,000 nits dan berat sekitar 55.5g tanpa tali. Ia tersedia dalam dalam tiga warna hijau, kuning dan hitam.

Selain itu, model Watch GT 7 Pro turut mempunyai sensor ECG, selain fungsi Pulse Wave Arrhythmia Analysis dan kajian risiko diabetes seperti yang terdapat pada model Watch 7 biasa.

Model Pro turut lengkap dengan mod Golf, menawarkan pangkalan data lebih 17,000 padang golf, paparan cerun green, kad skor dan fungsi replay trajektori pukulan. Ia juga menyokong freediving sehingga kedalaman 40 meter, dengan ciri seperti hover timer dan pengenalpastian jenis air.

Hayat bateri Watch GT 7 Pro turut didakwa bertahan sehingga 21 hari dalam penggunaan ringan, 12 hari dalam penggunaan biasa atau 7 hari dengan AOD diaktifkan. Untuk mod trail running, ia boleh bertahan sehingga 51 jam berdasarkan ujian makmal Huawei.

Seperti Watch GT 7M Watch GT 7 Pro turut menyokong lebih 110 mod sukan, termasuk mod sukan salji, pickelball, berbasikal, serta ciri pintar seperti panggilan Bluetooth, rakaman suara dan penyegerakan data melalui aplikasi Huawei Health.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Huawei Watch GT 7 dan Watch GT 7 Pro.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved