
PETALING JAYA: Taj Izrin Aiman Taj Madira mencipta sejarah baharu buat e-racing Malaysia apabila muncul juara Gran Turismo 7 (GT7) pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, sekali gus menghadiahkan emas kedua kontinjen negara di Aichi Sky Expo, semalam.
Kejayaan pelumba berusia 27 tahun itu lebih bermakna apabila emas berkenaan menjadi pingat emas pertama Malaysia dalam e-racing di pentas Sukan Asia selepas negara sebelum ini sekadar meraih perak Arena of Valor dan gangsa Dota 2 pada edisi Hangzhou 2022.
Izrin tidak memulakan saingan dengan kelebihan besar apabila menamatkan dua perlumbaan pertama di tempat kedua, masing-masing mengumpul lapan mata untuk meletakkan dirinya pada kedudukan mencabar menjelang perlumbaan terakhir.
Situasi itu bagaimanapun tidak menggugat ketenangan Izrin yang memilih untuk terus mengumpul mata sebelum meledak dalam perlumbaan ketiga dengan memenangi saingan 17 pusingan menerusi catatan 25 minit 07.185 saat.
Kemenangan itu membolehkan Izrin meraih 20 mata tambahan untuk mengumpul keseluruhan 36 mata, meninggalkan wakil Arab Saudi, Naif Abdulhakim Alfaleh dan pelumba Korea Selatan, Kim Young Chan yang masing-masing mengumpul 25 mata.
Lebih menarik, Izrin turut menunjukkan kematangan dalam mengurus perlumbaan apabila tidak terburu-buru mengejar kemenangan pada dua perlumbaan awal sebelum menggunakan peluang terakhir untuk mengubah kedudukan keseluruhan.
Kejayaan itu menyaksikan Malaysia bukan sahaja menambah emas kedua selepas kejayaan karate menerusi Adeola Fay Robert, malah mencipta detik penting buat e-racing negara yang kini mempunyai koleksi tiga pingat Sukan Asia dalam sejarah penyertaannya.
Bagi Izrin, kejayaan tersebut turut hadir dengan ganjaran tambahan RM20,000 daripada Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), namun nilai terbesar kemenangan itu kekal sebagai catatan sejarah apabila namanya menjadi pelumba pertama negara menjuarai acara e-racing di pentas Sukan Asia. – UTUSAN
The post Izrin cipta sejarah e-racing Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.






