
Infinix telah mengesahkan pelancaran siri Note60 di Malaysia pada 27 Februari 2026. Model yang disahkan hadir ialah Infinix Note60 Pro yang dikuasai oleh cip Snapdragon 7s Gen 4 sekaligus menandakan peralihan daripada kebiasaan Infinix menggunakan cip Mediatek sebelum ini.

Peranti ini turut menampilkan ciri Active-Matrix Display iaitu paparan LED yang tersembunyi dan hanya aktif apabila digunakan. Fungsinya mirip sistem Glyph Matrix pada Nothing Phone (3) dengan sokongan notifikasi pintar, animasi menarik, permainan mini serta lampu khas yang boleh diubahsuai.

Dari segi paparan, ia dilengkapi skrin 1.5K AMOLED dengan perlindungan Corning Gorilla Glass 7i dan kadar segar semula 144Hz untuk tatalan lebih lancar. Kamera utama 50MP OIS Night Master Cam pula menawarkan output Ultra HD, teknologi AI Pixel Fusion untuk kejelasan dalam pencahayaan rendah serta sokongan Ultra HDR bagi keseimbangan cahaya dan bayang yang lebih semula jadi. Ciri Live Photo Mode turut disediakan untuk merakam pergerakan dan suasana secara masa nyata.

Bateri besar 6500mAh digunakan hadir bersama pengecasan pantas 90W dan buat pertama kali Infinix memperkenalkan teknologi Battery Self-Healing yang direka untuk memanjangkan jangka hayat bateri sehingga enam tahun dengan pemulihan kesihatan bateri secara pintar. Selain itu, Infinix turut mengacah kehadiran model Ultra dalam siri ini yang dikatakan melibatkan kerjasama dengan pihak Pininfarina.


