Pada penghujung tahun lepas, Intel telah memperkenalkan cip pemprosesan pertama mereka yang tampil dengan kebolehan memproses tugasan AI secara terbina melalui Meteor Lake. Syarikat tersebut mengatakan bahawa pada tahun ini, beratus-ratus model komputer riba akan akhirnya dikuasakan dengan kemampuan memproses AI secara mendalam.

Di acara Lenovo Innovate ’24, Lenovo telah memperlihatkan kemaskini kepada sejumlah besar siri komputer riba Lenovo Yoga mereka, yang mana kesemua model-model yang akan dilancarkan pada tahun 2024 akan menggunakan cip pemprosesan Intel generasi ke-14 Meteor Lake.

Di acara tersebut, Lenovo memperlihatkan model-model Lenovo Yoga Pro, Lenovo Yoga 2-in-1 dan Lenovo Yoga Book 9i yang akan tampil dengan cip pemprosesan tersebut, yang akan hadir dengan sejumlah penambah-baikan dari segi kuasa pemprosesan, jangka-hayat bateri dan juga kebolehan memproses tugasan AI.

Dalam pada itu, Lenovo juga mengatakan bahawa kesemua komputer riba Lenovo Yoga akan tiba dengan penawaran paparan skrin Lenovo PureSight Pro dan juga Lenovo PureSight OLED yang menjanjikan resolusi setinggi 244 pixel untuk setiap inci paparan dan kadar segar semula setinggi 165Hz. Kedua-dua paparan ini juga dilihat boleh mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3 dan juga sRGB dan mempunyai Delta E<1 untuk olahan warna yang lebih jitu.

Kesemua penawaran Lenovo Yoga juga dilihat akan hadir dengan pembesar suara yang dibangunkan oleh Bowers & Wilkins yang menjanjikan sokongan Dolby Vision dan Dolby Atmos untuk pengalaman tontonan yang lebih kearah sinematik tidak kira dimana anda berada. Untuk beberapa model seperti Lenovo Yoga Book dan Lenovo Yoga 2-in-1, pembesar suara pada komputer-komputer riba ini juga boleh dipusing untuk memastikan pengalaman mendengar yang sekata tidak kira bagaimana anda menggunakan komputer riba ini.

Dari segi kecerdasan buatan, komputer riba Lenovo Yoga juga akan tampil dengan cip Lenovo AI Engine+ dan Lenovo X Power yang akan membantu dalam meningkatkan kemampuan memproses tugasan AI dan perkara-perkara lain seperti ketahanan bateri dan juga kemampuan untuk memperbaiki perisian BIOS secara kendiri.

Setiap pembelian komputer riba Lenovo Yoga yang dilancarkan pada tahun 2024 juga akan hadir dengan langganan Adobe Creative Cloud secara percuma untuk dua bulan.

Setakat ini Lenovo masih belum mengumumkan bilakah mereka akan memperkenalkan komputer-komputer riba Lenovo Yoga ini, tetapi menjanjikan bahawa ia akan tiba ke pasaran-pasaran tertentu tidak lama lagi.
