
Samsung Malaysia mengesahkan Samsung Galaxy S26, Galaxy S26+ dan Galaxy S26 Ultra di Malaysia akan mula menerima kemas kini menyokong Apple AirDrop hari ini. Kemas kini ini akhirnya diberikan kepada Galaxy S26 di Malaysia beberapa jam yang lalu dengan saiz muat turun ialah 868.11 MB. Bagi pemilik peranti Samsung yang lain, kemas kini ini akan diberikan secara berperingkat.

Penghantaran fail ke iPhone, iPad dan komputer maOS boleh dilakukan dengan memilih sistem perkongsian Quick Share. Peranti Apple yang ingin menerima fail perlu menukar tetapan AirDrop kepada “semua” sebelum fail boleh dihantar menggunakan protokol AirDrop.
Semasa artikel ditulis, Quick Share pada Galaxy S26 Ultra yang telah dikemaskini tidak mempunyai masalah menghantar fail kepada iPhone, iPad dan MacBook milik kami sendiri. Pada waktu yang sama fail daripada iPhone, iPad dan MacBook juga boleh dihantar kepada Galaxy S26 Ultra menggunakan menu AirDrop.

Ciri ini diberikan oleh Google pada siri Pixel 10 sahaja tahun lalu dengan mereka mengesahkan ia bakal diterima semua peranti Android menjelang penghujung 2026.




