
Samsung telah mengumumkan siri Galaxy Tab S12, barisan tablet flagship terbaharu mereka pada minggu lepas. Kini, kedua-dua tablet tersebut secara rasmi tiba di pasaran Malaysia.
Hadir dalam dua pilihan model, Galaxy Tab S12+ dan Galaxy Tab S12 Ultra, kedua-duanya dikuasakan oleh cip pemproses 3nm MediaTek Dimensity 9500. Tablet ini turut dibekalkan dengan sistem empat pembesar suara, stilus S Pen dalam kotak, sarung papan kekunci, serta langganan percuma untuk Google AI Pro dan Adobe Photoshop.
Menariknya, Samsung turut menawarkan diskaun pendidikan sebanyak 20%. Menerusi tawaran ini, model WiFi Galaxy Tab S12+ boleh dimiliki pada harga serendah RM3,999.20 bermula 7 Oktober 2026 dengan pengesahan emel
Harga siri Samsung Galaxy Tab S12 di Malaysia

Seperti yang didedahkan sebelum ini, berikut adalah harga jualan Galaxy Tab S12+ dan Tab S12 Ultra di Malaysia:
- Galaxy Tab S12+ WiFi – RM4,999
- Galaxy Tab S12 Ultra 256GB WiFi – RM5,999
- Galaxy Tab S12+ 5G – RM5,649
- Galaxy Tab S12 Ultra 256GB 5G – RM6,649
Anda boleh beli tablet flagship terbaharu ini menerusi stor rasmi dalam talian Samsung serta Lazada dan Shopee.

Sekiranya anda pelajar dan staf pendidikan, anda boleh menikmati diskaun sehingga 20% menerusi Samsung Education Store. Berikut adalah harga yang ditawarkan untuk pelajar dan staf pendidikan:
- Galaxy Tab S12 Ultra WiFi – RM4,799.20
- Galaxy Tab S12 Ultra 5G – RM5,319.20
- Galaxy Tab S12+ WiFi – RM3,999.20
- Galaxy Tab S12+ 12GB + 256GB 5G – RM4,519.20
Untuk mendapatkan tawaran harga pelajar ini, menurut Samsung, pengguna perlu log masuk menggunakan Samsung Account dan mengesahkan e-mel pelajar yang layak dengan domain .edu untuk mendapatkan harga pendidikan.
Samsung turut menawarkan diskaun tambahan 5% untuk pembelian pertama menerusi program pendidikan tersebut.
Bagi bukan pelajar pula, Samsung menawarkan promosi pelancaran dari 7 Oktober hingga 8 November 2026, dengan diskaun sehingga RM500 apabila pembayaran dibuat menggunakan SPayLater atau kad bank yang mengambil bahagian.
Sepanjang tempoh promosi ini, Galaxy Tab S12 Ultra menerima rebat RM500, menjadikan harga model WiFi RM5,499, manakala model 5G pula RM6,149. Sementara itu, Galaxy Tab S12+ menerima rebat RM400, menjadikan harga model WiFi RM4,599, manakala model 5G pula RM5,249.
Samsung turut memaklumkan bahawa siri Galaxy Tab S12 didatangkan dengan aplikasi dan manfaat yang telah dipasang siap, termasuk Gemini, Adobe Photoshop, Notability dan iQIYI dengan nilai keseluruhan RM1,123.58.
Spesifikasi Galaxy Tab S12 Ultra

Perubahan pada siri Galaxy Tab S12 kali ini tidak begitu ketara berbanding generasi sebelumnya. Model Galaxy Tab S12 Ultra dibekalkan skrin 14.6 inci jenis Dynamic AMOLED 2X dengan kecerahan puncak sehingga 1,600 nits, sama seperti model sebelumnya. Namun, ia kini menyokong Vision Booster yang dipertingkat, dengan pelarasan kecerahan yang lebih baik.
Dari segi binaan, model baharu ini turut tampil lebih nipis, iaitu 5.1mm, berbanding 5.2mm pada generasi sebelumnya.

Peningkatan utama terletak pada komponen dalamannya. Tablet ini dikuasakan cip MediaTek Dimensity 9500 (3nm), yang menurut Samsung menawarkan peningkatan NPU sehingga 61%, prestasi CPU sehingga 19%, dan GPU sehingga 17% berbanding Galaxy Tab S11 Ultra. Ia dipadankan dengan RAM 12GB dan storan dalaman 256GB, yang mana storan boleh diperluas menerusi kad mikroSD sehingga 2TB.
Kedua-dua tablet turut dilengkapi sistem penyejukan 3D Vapor Chamber yang direka semula utnuk melesapkan haba dengan lebih efisien.
Untuk sistem kamera, ia ia menggunakan tetapan dua kamera belakang, iaitu kamera utama 13MP dan ultralebar 8MP, manakala kamera depan pula 12MP. Membekalkan tenaga kepada tablet ini adalah bateri 11,600mAh, kapasiti sama dijumpai pada Galaxy Tab S11 Ultra. Samsung mendakwa pengecasan daripada 0% hingga 100% mengambil kira-kira 95 minit menggunakan pengecas 45W.

Lagi yang dinaik taraf adalah pada bahgian audio, di mana ia menggunakan sistem kuadspeaker dengan 4-saluran Spatial Audio yang dikatakan memberikan bunyi lebih kaya dan pengalaman mendengar yang lebih imersif. Ciri-ciri lain termasuk sokongan Wi-Fi 7, penarafan kalis air dan debu IP68, serta jaminan kemas kini sistem operasi dan keselamatan sehingga 7 tahun.
Sejurus keluar dari kotak, tablet ini menjalankan sistem operasi One UI 9 berasaskan Android 17, turut menyokong Fungsi Multi Window dengan sehingga tiga bahagian skrin, serta dihadirkan dengan S Pen secara percuma dalam kotak. Dalam masa yang sama, Samsung turut menawarkan langganan Google AI Pro secara percuma untuk pengguna Galaxy Tab S12.
Spesifikasi Galaxy Tab S12+

Jadi, apa perbezaannya dengan Galaxy Tab S12+? Ia kekal menjadi pilihan yang lebih kompak, dengan skrin 12.6″ Dynamic AMOLED 2X dengan resolusi 2800×1752 piksel. Tablet ini mempunyai ketebalan 5.3 mm dengan berat 553 gram bagi varian Wi-Fi.
Seperti model Ultra, Galaxy Tab S12+ dikuasakan MediaTek Dimensity 9500, RAM12GB, serta storan 256GB dengan sokongan kad miKroSD sehingga 2TB. Kapasiti baterinya sedikit lebih kecil berada pada paras 10,600 mAh, tapi merupakan naik taraf daripada Galaxt Tab S11 8,400mAh.
Menurut Samsung, tablet mampu menawarkan penggunaan sehingga 21 jam main balik video, dan turut menyokong pengecasan pantas 45W.

Berbeza dengan model Ultra, bahagian kamera belakang Tab S12+ hanya menggunakan satu kamera 13MP sahaja, manakala bahagian hadapan kekal dengan kamera 12MP. Dari segi ketersambungan, ia menyokong rangkaian Wi-Fi 6E dan Bluetooth 6.0.
Sama seperti model Ultra, Tab S12+ turut dilengkapi penarafan kalis air IP68, empat pembesar suara dengan ciri Spatial Audio, perisian Android 17 dengan antara muka One UI 9 berserta sokongan kemas kini OS selama 7 tahun, dan turut hadir bersama stylus S Pen di dalam kotak.





