Sisa ternakan ladang babi dihantar ke loji biogas - Mooi Lye

LocalEnvironment
30 Oct 2026 • 10:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sisa ternakan ladang babi dihantar ke loji biogas - Mooi Lye
Mooi Lye ketika menjawab mengenai tindakan bagi menyelesaikan masalah pencemaran bau di Sungai Kereh.

GEORGE TOWN – Semua ladang babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor mula menghantar sisa ternakan ke loji biogas di Ampang Jajar sejak 4 Mei lalu sebagai langkah membendung pelepasan sisa ke saliran awam yang mengalir ke Sungai Kereh.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H'ng Mooi Lye berkata, langkah itu bertujuan mengawal pelepasan sisa ternakan ke persekitaran sekali gus membantu mengurangkan pencemaran dan masalah bau di kawasan berkenaan.

Selain itu katanya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) turut melaksanakan aktiviti penuangan larutan Useful Microbes Activated Solution (UMAS) secara mingguan ke dalam saliran awam di Kampung Selamat sebagai langkah mitigasi bagi membantu mengawal pencemaran serta mengurangkan masalah bau.

"Pemeriksaan terhadap ladang babi dan tindakan penguatkuasaan turut dilaksanakan bagi memastikan penternak mematuhi keperluan pengurusan sisa ternakan yang ditetapkan.

"Bagi tindakan selanjutnya, JPVPP akan meneruskan pemantauan terhadap penghantaran sisa babi ke loji biogas selain memastikan aktiviti penuangan larutan UMAS secara mingguan dilaksanakan secara berterusan," katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Jumaat.

Mooi Lye (DAP-Jawi) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Bukhori Ghazali (Pas-Pinang Tunggal) mengenai tindakan-tindakan yang telah dan akan diambil bagi menyelesaikan masalah pencemaran bau di Sungai Kereh serta piawaian yang digunakan untuk menilai keberkesanan tindakan yang diambil.

Mooi Lye menambah, tindakan penguatkuasaan juga akan dipertingkatkan terhadap penternak yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan bagi menangani masalah pencemaran bau di Sungai Kereh.

Mengulas mengenai piawaian yang digunakan untuk menilai keberkesanan tindakan berkenaan, beliau menjelaskan, Peraturan 25(2), Peraturan-Peraturan Pelesenan Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2020 menetapkan kepekatan gas ammonia di dalam kandang tertutup perlu berada di bawah 20 bahagian per juta (ppm) manakala gas hidrogen sulfida pula di bawah lima ppm.

"Berdasarkan bacaan menggunakan alat pengukuran gas di dalam kandang tertutup, kepekatan kedua-dua gas berkenaan direkodkan masih dalam lingkungan had yang dibenarkan.

"Bagaimanapun, bacaan tersebut hanya merujuk kepada kepekatan gas di dalam kandang dan tidak mewakili bacaan indeks kualiti air atau tahap bau di Sungai Kereh secara langsung," katanya.

Menjawab mengenai jumlah peruntukan kewangan yang telah digunakan bagi setiap tahun, beliau berkata, JPVPP memperuntukkan sebanyak RM6,000 setiap tahun bagi melaksanakan aktiviti penuangan larutan UMAS secara mingguan ke dalam saliran awam di Kampung Selamat.

"Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri turut mengambil inisiatif melaksanakan kerja-kerja pembersihan di Parit Cina dan Sungai Kereh yang dijangka bermula pada suku pertama 2027.

"Kerja-kerja berkenaan bertujuan mengeluarkan sisa mendapan yang terkumpul bagi membantu meningkatkan kelancaran aliran air serta mengurangkan masalah pencemaran di kawasan terbabit," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved