
GEORGE TOWN : Semua ladang babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor telah mula menghantar sisa ternakan haiwan itu ke loji biogas di Ampang Jajar bermula 4 Mei lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye berkata, langkah itu bertujuan mengawal pelepasan sisa ternakan ke kawasan persekitaran khususnya menerusi sistem perparitan yang mengalir ke Sungai Kereh.
“Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) turut melaksanakan aktiviti penuangan larutan Useful Microbes Activated Solution (UMAS) secara mingguan ke dalam saliran awam di Kampung Selamat bagi membantu mengawal pencemaran serta mengurangkan masalah bau di kawasan berkenaan,” katanya.
Mooi Lye (PH-Jawi) berkata demikian semasa menjawab soalan daripada Bukhori Ghazali (PN-Pinang Tunggal) mengenai langkah yang diambil untuk mengatasi masalah pencemaran bau di Sungai Kereh ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.
Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata, JPVPP juga akan mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap penternak babi yang dikesan gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Berdasarkan Peraturan 25(2), Peraturan-Peraturan Pelesenan Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2020, pemegang lesen perlu memastikan kepekatan gas ammonia di dalam kandang tertutup berada di bawah 20 bahagian per juta (ppm), manakala gas hidrogen sulfida di bawah lima ppm.
“Bagaimanapun, bacaan menggunakan alat pengukuran gas yang direkodkan di dalam kandang tertutup didapati masih dalam lingkungan had yang dibenarkan iaitu tidak mewakili bacaan indeks kualiti air atau tahap bau di Sungai Kereh secara langsung,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri turut merancang untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di Parit Cina dan Sungai Kereh yang dijangka bermula pada suku pertama tahun depan.
Katanya, kerja-kerja tersebut bertujuan mengeluarkan sisa mendapan yang terkumpul bagi membantu melancarkan aliran air serta mengurangkan masalah pencemaran di kawasan berkenaan.-UTUSAN
The post Sisa ternakan babi Kg. Selamat mula dihantar ke loji sejak Mei appeared first on Utusan Malaysia.




