
SEBERANG PERAI – Enam anggota bomba mengambil masa lebih setengah jam untuk membantu mengangkat seorang lelaki obesiti seberat kira-kira 300 kilogram yang berada dalam keadaan lemah di Kampung Pokok Tampang, Tasek Gelugor di sini, hari ini.
Mangsa berusia 26 tahun itu kemudian dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.18 pagi tadi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tasek Gelugor tiba di lokasi kejadian pada pukul 8.31 pagi.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan kerja-kerja mengangkat mangsa sebelum berjaya memasukkannya ke dalam ambulans milik syarikat untuk dibawa ke Hospital Seberang Jaya.
“Mangsa berada dalam keadaan sedar dan lemah ketika operasi menyelamat dijalankan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, operasi tersebut kemudiannya tamat sepenuhnya pada pukul 9.23 pagi. -KOSMO! ONLINE
The post Bomba angkat lelaki obesiti seberat 300kg appeared first on Kosmo Online.






