Sissy Imann beli rumah pertama usia 28 tahun hasil titik peluh sendiri. 'My own blood, sweat & tears, Alhamdulillah'

7 May 2026 • 2:38 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Sissy Imann beli rumah pertama usia 28 tahun hasil titik peluh sendiri. 'My own blood, sweat & tears, Alhamdulillah'

TAHNIAH diucapkan kepada penyanyi dan pengacara Sissy Imann yang kini berjaya memiliki rumah pertama pada usia 28 tahun.

Dua tahun menunggu kunci, baru-baru ini Sissy berkongsi momen pertama kali menjejakkan kaki ke kediaman miliknya sendiri. Momen itu turut dimuat naik buat tatapan peminat, lengkap dengan rasa syukur atas pencapaian yang disifatkan sebagai hasil usaha bertahun-tahun.

Sissy mendedahkan lima tahun lalu dia membeli kereta pertamanya, sebuah Nissan Serena namun mengambil keputusan untuk menyimpan sahaja pencapaian dirinya itu. Bukan sebab tak gembira, tapi Sissy merasakan pencapaian itu 'tak cukup besar' untuk diceritakan kepada orang lain.

“Saya simpan sendiri je. Tak cerita dekat kawan rapat pun. Rasa macam belum layak nak bangga sangat sebab bukan Alphard atau Vellfire,” katanya mengenang kembali peristiwa pada 2021 itu.

Namun kali ini, Sissy memilih untuk lebih terbuka dalam berkongsi kejayaan dalam hidup. Katanya, pencapaian memiliki rumah sendiri pada usia muda bukan sekadar soal material tetapi simbol kepada usaha, disiplin dan perjalanan panjang yang tidak selalu mudah untuk diceritakan.

Image from: Sissy Imann beli rumah pertama usia 28 tahun hasil titik peluh sendiri. 'My own blood, sweat & tears, Alhamdulillah'

“Ini hasil titik peluh sendiri. My own blood, sweat and tears. Alhamdulillah,” tulisnya ringkas namun penuh makna.

Ujar Sissy, unit kediaman di aras bawah itu dibeli pada tahun 2024 ketika masih bergelar pelajar dan sebelum dia bertemu suami tercinta, Dr Zamir Hilman Dr Hamzah.

"Bukan banglo pun ya korang, cuma kondominium saja. Tapi saya suka sebab tidak terlalu padat, dan paling best, dapat parkir betul-betul depan rumah. Tak perlu naik lif pun.

“Saya freelance, kerja pun tak tetap sangat, indie pula. Mak ayah jadi manager sebab belum mampu nak bayar orang lain. Tapi dalam masa yang sama, sambung belajar pun saya masih boleh beli rumah sendiri. Jadi saya rasa, itu pun dah cukup baik,” titipnya.

Percaya segala yang berlaku dengan izin ALLAH dan doa kedua ibu bapa, Sissy tidak lupa sokongan orang-orang yang tidak pernah berhenti memberi semangat sejak awal perjalanan.

Sekadar info, Sissy selamat melangsungkan perkahwinan dengan Dr Zamir pada 12 Dsember 2025 turut menggenggam sarjana dalam bidang muzik dari Fakulti Muzik, Universiti Teknologi Mara.